Jururawat sebuah hospital swasta di Sungai Petani, Kedah telah membuat laporan polis gara-gara ada seorang pesakit wanita melarikan diri dari wad semalam tanpa membuat pembayaran selepas mendapati insurans diambil tidak melindungi penyakitnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, wanita berusia 32 tahun itu pada mulanya mendaftar untuk mendapatkan rawatan di hospital terbabit, jam 6.40 petang kelmarin sebelum dia dimasukkan ke wad, lapor Berita Harian.

Baca Juga:

“Bagaimanapun, pada 9.30 malam pihak hospital memaklumkan kepada wanita itu yang insuransnya tidak boleh digunakan sebelum dia memberitahu enggan meneruskan rawatan dan mahu keluar wad.

“Jururawat kemudian memberitahu doktor bertugas sebelum proses keluar wad dilakukan terhadap pesakit terbabit yang turut diminta menjelaskan bayaran dan mengambil ubat di farmasi,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pada 10.40 malam pesakit berkenaan didapati tiada dalam wad dan dikesan tidak membuat pembayaran serta mendaftar keluar dari hospital.

“Kakitangan hospital cuba menghubunginya namun pesakit berkenaan tidak menjawab panggilan telefon dan satu laporan polis dibuat jururawat.

“Susulan itu, polis menghubungi pesakit terbabit namun tidak dijawab dan cuba mencarinya di rumah bagaimanapun wanita berkenaan tiada selain pintu berkunci,” katanya.

Siasatan awal mendapati wanita berkenaan ke hospital swasta itu kerana mengalami sakit perut dan memberitahu dia mempunyai insurans ketika mendaftar masuk wad.

“Pemeriksaan mendapati pesakit mengalami gastrik namun syarikat insurans yang diambilnya mendakwa mereka tidak melindungi penyakit dihidapi wanita itu membuatkan dia keluar wad.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut serta sedang mengesan pesakit berkenaan,” kata Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan.

Pada tahun lalu, ada seorang pemandu Nissan GT-R melarikan diri selepas kereta yang dipandunya terlibat kemalangan dan tidak memiliki insurans.

Sumber