Semalam, CEO Intel, Lip Bu Tan, telah mengeluarkan memo kepada kakitangan. Memo itu memperincikan strategi masa depan syarikat dan langkah-langkah yang sedang serta akan diambil untuk memastikan kelangsungan Intel dalam jangka panjang.

Menerusi hebahan ini, ia merupakan berita baik buat pekerja Intel di Malaysia kerana beliau mengumumkan rancangan untuk menyatukan operasi pemasangan dan ujian di Costa Rica ke tapak lebih besar di Malaysia dan Vietnam.

Intel Pilih Malaysia Untuk Jadi Pusat Pemasangan Dan Ujian Cip
Sumber Gambar: The Economist

Costa Rica kekal sebagai tapak negara penting menempatkan pasukan kejuruteraan dan fungsi korporat. Seperti telah dilaporkan sebelum ini, projek pembinaan kilang fabrikasi cip di Jerman dan Poland kini telah dibatalkan.

Dalam pada itu, Intel mengesahkan rancangan untuk mengurangkan tenaga kerjanya sebanyak 15%, dengan sasaran mengehadkan jumlah pekerja kepada hanya 75,000 menjelang akhir tahun ini.

Ini adalah pengurangan drastik memandangkan Intel mempunyai 108,900 pekerja di seluruh dunia pada akhir 2024.

Langkah penjimatan kos ini sudah bermula, dengan separuh daripada pekerja di peringkat pengurusan telah diberhentikan pada suku kedua lalu.

Pengurangan besar-besaran ini mencerminkan usaha Intel untuk mengekalkan kelangsungan syarikat dalam landskap ekonomi yang mencabar.

Tidak sekadar itu, syarikat gergasi teknologi ini sedia mengumumkan perubahan besar dalam strategi Kecerdasan Buatan (AI) mereka.

Tumpuan kini beralih daripada pembangunan AI untuk latihan kepada AI yang berkuasa dalam melaksanakan tugas inferens dan ejen.

Selain itu, Intel juga akan memberikan perhatian khusus untuk menghidupkan kembali ekosistem x86 mereka. Bagi pasaran pusat data, strategi ini akan dimulakan dengan cip Granite Rapids, manakala untuk pelanggan pula, ia akan diteruskan menerusi siri Panther Lake dan Nova Lake.

Langkah ini menunjukkan Intel sedang menyesuaikan diri dengan landskap teknologi AI yang kian berkembang pesat dan menjadi komponen penting di dalam industri pada era ini.

Sumber