Liga Major Amerika Syarikat (MLS) menggantung bintang dunia Lionel Messi dan rakan sepasukannya Jordi Alba selama satu perlawanan selepas mereka gagal menghadiri perlawanan MLS All-Star yang berlangsung di Austin, Texas pada 25 Julai lalu.

Kedua-dua pemain didakwa tidak memberikan sebab perubatan yang sah atas ketidakhadiran mereka, seperti yang ditetapkan dalam peraturan liga.

Menurut peraturan MLS, mana-mana pemain yang dipilih untuk aksi All-Star tetapi gagal hadir tanpa alasan sah akan digantung daripada perlawanan kelab seterusnya. Akibatnya, Messi dan Alba dilarang daripada turun dalam aksi penting menentang FC Cincinnati yang berakhir dengan keputusan seri 0-0.

Pemilik bersama Inter Miami, Jorge Mas, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadilan liga, menyifatkan tindakan itu sebagai “draconian” (kejam) dan tidak mempertimbangkan kepentingan pemain.

“Kami membuat keputusan untuk tidak menghantar Messi dan Alba kerana mengambil kira beban jadual mereka yang padat.

“Ini bukan satu ketidakhadiran yang tidak bertanggungjawab,” kata beliau dalam satu kenyataan media.

Ketua jurulatih Inter Miami, Javier Mascherano, turut mempersoalkan sikap dan konsistensi penguatkuasaan peraturan tersebut.

Beliau menyifatkan tindakan menggantung pemain berprofil tinggi tanpa mempertimbangkan keadaan sebenar boleh menjejaskan hubungan antara kelab dan liga.

Menurut laporan ESPN dan Reuters, Messi dikatakan kecewa dengan keputusan itu, dan pihak kelab bimbang ia akan memberi kesan terhadap rundingan pembaharuan kontraknya.

Messi seolah olah tidak percaya bahawa wujud peraturan seperti itu dalam bola sepak. Di mana pemain dipaksa bermain untuk aksi pertunjukan.

Insiden ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan penyokong dan penganalisis sukan. Ramai menganggap MLS sepatutnya lebih fleksibel, memandangkan impak besar Messi dalam menarik minat global terhadap liga tersebut.

MLS dilaporkan akan mengkaji semula dasar berkaitan perlawanan All-Star bersama Persatuan Pemain dalam masa terdekat.