Bintang bola sepak dunia, Lionel Messi cukup terkenal dengan kelazimannya tidak banyak berlari ketika beraksi di padang semasa perlawanan sepanjang kariernya yang cemerlang.
Sepanjang 20 tahun karier cemerlang dinikmatinya, satu tabiat unik Messi ialah sering kelihatan berjalan di padang, mengimbas sebelum membuat langkah untuk seiring dengan serangan pasukan.
Baca Juga:
- Ini Pemain Yang Selalu Buat Mental Lionel Messi Koyak
- Lionel Messi Akui Inter Miami Mungkin Kelab Terakhirnya
- Messi Disarankan Ganti Tempat Xavi Sebagai Pengurus Barcelona
Sehubungan dengan itu, Messi yang kini menyarung jersi Inter Miami mendedahkan sebab mengapa beliau lebih gemar berjalan berbanding berlari.
“Ketika saya di Newell’s, kami diarahkan untuk berlari mengelilingi padang dua hingga tiga kali seminggu. Saya selalu bersembunyi di belakang pokok.”
“Berlari tanpa bola bukanlah perkara yang melambangkan diri saya,” ujar Lionel Messi sambil ketawa menurut sumber laporan Goal.
“Saya sentiasa sangat kritikal terhadap diri saya sendiri. Saya adalah orang pertama yang tahu apa yang saya lakukan dengan betul dan apa yang saya lakukan dengan salah.”
“Ketika saya berjalan di dalam padang, saya menganalisis kedudukan lawan, bagaimana kami berdiri apabila tidak memiliki bola, menjauhkan diri daripada kawalan pemain lawan dan dapat memulakan serangan balas.”
“Saya tidak begitu mementingkan aspek GPS, statistik atau data. Saya tidak pernah ambil peduli berapa banyak saya berlari dalam satu perlawanan.”
Messi telah menikmati segalanya dalam kariernya apabila beliau memenangi Piala Dunia 2022 di Qatar bersama Argentina dan juga memenangi Bola Emas Piala Dunia FIFA sebagai bukti kecemerlangan.
Pada musim panas 2023, beliau berpindah ke Inter Miami dan sejak itu mengakui bahawa kelab MLS itu mungkin menjadi kelab terakhirnya sebelum beliau bersara.
Pemenang Piala Dunia itu masih terlibat dengan Argentina dan memimpin La Albiceleste dalam Copa America 2024 di Amerika Syarikat.