Bintang bola sepak dunia, Lionel Messi menegaskan masih belum bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal buat kancah bola sepak profesional.
Bakal menjengah usia 37 tahun pada 24 Jun nanti, Messi seperti sedia maklum telah menikmati karier yang cukup gemilang di peringkat domestik dan antarabangsa.
Baca Juga:
- Angkara Messi, China Batalkan Dua Aksi Persahabatan Argentina
- Peminat Inter Miami Berang Sikap Messi Ketawakan Rakan Sepasukan
- Lionel Messi Tak Muncul, Peminat Hong Kong Mengamuk, Minta ‘Refund’
Kesemua piala utama pernah dijulang olehnya seperti Piala Dunia, Piala Dunia Remaja, Copa America, Liga Juara-Juara Eropah, La Liga, Ligue 1 dan banyak lagi.
Meskipun masih belum menetapkan tarikh persaraannya, Messi yang merupakan pemenang Ballon d’Or sebanyak lapan kali tanpa berselindung mengakui Inter Miami bakal menjadi kelab terakhir diwakilinya.
“Saya tidak bersedia untuk meninggalkan bola sepak, saya telah melakukan perkara ini sepanjang hidup saya, saya menikmati latihan dan permainan.”
“Rasa ketakutan bahawa semua ini akan berakhir pastinya sentiasa ada. Saya rasa Inter Miami akan menjadi kelab terakhir saya,” ujar Messi menurut sumber laporan Goal.
Lionel Messi masih mempunyai baki kontrak 18 bulan bersama kelab Major League Soccer (MLS) tersebut.
Messi seperti diketahui dikenali kerana kehebatan menggelecek pemain lawan, visi serta kemampuannya dalam menjaringkan gol yang luar biasa.
‘Perseteruan’ hebat bersama Cristiano Ronaldo sentiasa menjadi buah mulut para peminat bola sepak dunia hingga ke hari ini dimana mereka berdua sering dibandingkan.
Tugas beliau kini tertumpu ke saingan Copa America 2024 yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat bermula 21 Jun nanti.