IOI Properties Group Bhd (IOIPG) telah bersetuju untuk mengambil alih Shenton 101 Pte Ltd, syarikat memiliki Shenton House di Singapura, daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang juga pemegang saham utamanya, Datuk Lee Yeow Seng, pada harga nominal SGD 1.00.
Berdasarkan makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis, IOIPG juga akan menjelaskan pertambahan wang pendahuluan pemegang saham sebanyak S$217.06 juta (RM696.43 juta) yang telah disuntik oleh Yeow Seng ke dalam Shenton 101 — entiti khusus yang ditubuhkan beliau untuk mengintegrasi hartanah berkenaan, petik The Edge Malaysia.
Selain itu, kumpulan tersebut bakal menyatukan pinjaman entiti berkenaan berjumlah S$376.23 juta ke dalam akaun kewangannya sebaik sahaja transaksi pelupusan itu selesai. Kedua-dua jumlah berkenaan adalah berpandukan kedudukan kewangan setakat 31 Julai 2026.
Urus niaga ini menyaksikan perubahan pendirian oleh ahli lembaga pengarah tidak berkepentingan kumpulan, yang sebelum ini menolak cadangan penjualan Shenton 101 kepada IOIPG pada Ogos 2024.
Penolakan terdahulu dibuat berikutan komitmen modal yang besar bagi beberapa pengambilalihan lain pada waktu tersebut.
Sebelum ini, Yeow Seng mengemukakan cadangan penjualan itu bagi mengelakkan potensi konflik kepentingan selepas beliau membeli hartanah berkenaan atas kapasiti peribadi.
Bagi mengurangkan risiko berkenaan, IOIPG sebaliknya menandatangani perjanjian pengurusan projek dan hartanah untuk bangunan tersebut.
Untuk rekod, Shenton 101 telah memenangi tender bagi mengambil alih Shenton House — sebuah pembangunan komersial hak milik strata 25 tingkat seluas 3,377 meter persegi yang dibina pada pertengahan 1970-an — pada nilai S$538 juta pada November 2023, sebelum proses pembelian berkenaan dimuktamadkan sepenuhnya pada Jun 2024.