Ketegangan di Timur Tengah terus memuncak apabila Iran dilaporkan mengumumkan penutupan Selat Hormuz, laluan perkapalan paling penting dunia bagi penghantaran minyak dan gas.

Langkah dramatik ini dikatakan sebagai tindak balas terhadap serangan ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas sasaran di wilayah Iran baru-baru ini.

Laluan Penting Bekalan Minyak Dunia

Untuk rekod, Selat Hormuz menghubungkan Teluk Parsi ke Laut Oman dan menjadi laluan utama kira-kira 20 peratus bekalan minyak mentah global setiap hari.

Sebarang gangguan di kawasan ini akan memberi kesan langsung kepada harga minyak dunia, kos penghantaran, serta ekonomi global.

Sejurus pengumuman itu, beberapa kapal komersial dilaporkan menangguhkan perjalanan melalui laluan tersebut berikutan ancaman keselamatan dan peningkatan kos insurans maritim.

Harga Minyak Dijangka Melonjak

Penganalisis tenaga menjangkakan harga minyak mentah global berpotensi melonjak mendadak sekiranya penutupan ini berpanjangan.

Negara-negara Asia yang bergantung kepada import minyak dari Teluk Parsi antara yang paling terkesan.

Kuasa besar seperti China turut menyeru agar laluan perdagangan antarabangsa itu kekal selamat bagi mengelakkan krisis tenaga yang lebih besar.

Isyarat Bahawa Iran Tidak Gentar Dengan AS-Isra*l

Tindakan Iran ini juga dilihat sebagai mesej tegas kepada Washington dan sekutunya bahawa Tehran bersedia menggunakan kedudukan geografinya sebagai leverage strategik.

Bagaimanapun, beberapa laporan menyebut terdapat percanggahan kenyataan daripada pegawai diplomatik Iran mengenai status sebenar penutupan sepenuhnya laluan tersebut.

Buat masa ini, dunia memerhati rapat perkembangan di Selat Hormuz kerana sebarang eskalasi lanjut berpotensi mencetuskan krisis ekonomi dan keselamatan berskala global.

Respon Donald Trump

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menegaskan bahawa Amerika Syarikat akan mengambil tindakan segera untuk melindungi perdagangan tenaga di kawasan Teluk.

Ini termasuk menyediakan jaminan kewangan dan kemungkinan mengiringi kapal tangki melalui Selat Hormuz, bagi memastikan bekalan tenaga dunia terus lancar serta menunjukkan kekuatan ekonomi dan ketenteraan AS.

Trump berkata: “Berkuat kuasa serta-merta, saya telah mengarahkan United States Development Finance Corporation (DFC) untuk menyediakan, pada harga yang sangat munasabah, insurans risiko politik dan jaminan bagi Keselamatan Kewangan semua Perdagangan Maritim, khususnya tenaga, yang melalui Teluk.

“Ini akan tersedia kepada semua syarikat perkapalan. Jika perlu, Tentera Laut Amerika Syarikat akan mula mengiringi kapal tangki melalui Selat Hormuz secepat mungkin.

“Walaubagaimanapun, Amerika Syarikat akan memastikan aliran bebas tenaga ke seluruh dunia.”

Trump kemudian memberikan amaran kepada Iran bahawa AS adalah negara terhebat di dunia dari segi ekonomi. Dan mereka tidak akan tunduk dengan Tehran.

“Kekuatan ekonomi dan ketenteraan Amerika Syarikat adalah yang terhebat di dunia — Tindakan lanjut akan menyusul. Terima kasih atas perhatian anda terhadap perkara ini!