Khabar angin mengenai kepulangan YouTuber terkenal, IShowSpeed ke Malaysia kini menjadi topik hangat di platform media sosial.

Hal ini kerana menerusi rakaman siaran langsung figura popular pada durasi minit 8:24 telah disoal oleh seorang peminat tentang perancangan lawatan ke Malaysia lagi.

IShowSpeed langsung memberi respon berkata “Semua, saya akan datang ke Malaysia tidak lama lagi” dengan nada yang serius.

@ming.xing0

ishowspeed coming to malaysia soon #ishowspeed #malaysia #speed #fyp

♬ QKThr – Aphex Twin

Selepas siri jelajah Asia Tenggara yang mencetuskan fenomena luar biasa dua tahun lalu, peminat kini mahu melihat sisi berbeza jika pemuda itu kembali ke sini.

Menariknya, rata-rata netizen sebulat suara mencadangkan pempengaruh berjaya, Khairul Aming, untuk mengiringi Speed bagi memastikan kunjungan kali ini lebih berkualiti dan memperkenalkan budaya Malaysia dengan lebih tertib.

Netizen yang mencadangkan KA sebagai tour guide kerana percaya mampu membawa Speed untuk mengeksplorasi budaya Malaysia yang kaya sepertimana yang berjaya ditonjolkan kepada PM New Zealand.

Selain itu, terdapat saranan agar pihak yang menggalas tanggungjawab sebagai pemandu pelancong mempertimbangkan eksplorasi ke kawasan pedalaman di negeri-negeri lain, khususnya di Borneo.

Kepelbagaian adat tradisi dan keunikan aktiviti kebudayaan di Sabah dan Sarawak menawarkan potensi besar yang belum diteroka sepenuhnya, sekali gus mampu menjadi pemacu utama dalam mempromosikan sektor pelancongan Malaysia ke peringkat global.

Kenapa perlu guna pengaruh figura ini?

Jika anda mempersoal mengapa perlu menggunakan pengaruh IShowSpeed sewaktu kunjungan berikutnya? Pada lawatan Ghana pada bulan Februari 2026, Presiden Ghana, John Dramani Mahama, secara terbuka mengakui kehebatan pengaruh Speed.

Presiden Mahama menceritakan bagaimana satu babak di mana Speed menerima urutan tradisional menggunakan Shea Butter di sebuah muzium telah mencetuskan fenomena global.

Sebagai buktinya, difahamkan nama Ghana telah melonjak di enjin carian dengan jumlah 20 juta carian sebaik sahaja figura itu menjejakan kaki ke sana.

“IShowSpeed secara bersendirian telah melonjakkan nama ‘Ghana’ sehingga menjadi trend Google global selama berminggu-minggu. Itu adalah PR percuma tahap luar biasa yang mana mana kementerian pun tak mampu nak beli,” ujarnya

Selain KA, nama Sofyank juga menjadi sebutan kerana dia turut mempunyai bakat dalam pembikinan efek video bertaraf antarabangsa di mana boleh berkolaborasi menghasilkan konten menarik sewaktu kunjungan yang akan datang nanti.