Israel pada mengumumkan kekalahan terburuknya di Gaza selama hampir tiga bulan.
Kerajaan Zionis tersebut berkata bahawa 21 daripada tenteranya telah terbunuh di Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Baca Juga:
- Israel Rancang Mahu Pindahkan Penduduk Gaza Ke Pulau Buatan
- Netizen Dunia Puji Tindakan Kerajaan Sekat Kapal Israel Berlabuh Di Malaysia
Ia merupakan angka kematian sehari terbesar daripada tentera Israel sejak bermulanya operasi darat pada 27 Oktober.
“Kebanyakan askar terbunuh apabila tembakan bom tangan mengenai kereta kebal dan bangunan yang mereka cuba letupkan,” kata jurucakap tentera Israel Daniel Hagari dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen Israel, seperti dipetik AFP.
Terdahulu, Israel merekodkan 10 kematian tenteranya dalam tempoh 24 jam.
Hagari berkata beberapa askar yang terkorban kali ini adalah anggota simpanan.
“Kami berusaha mencari mangsa sehingga beberapa jam terakhir,” kata Hagari, menunjukkan kesukaran untuk memindahkan mayat yang tertimbus di bawah runtuhan.
“Askar kami mengorbankan apa yang paling mereka sayang, supaya kami semua dapat tinggal di sini dengan selamat,” katanya.
Israel memulakan serangan besar terhadap militan Hamas di Gaza selepas kumpulan Palestin menyerang selatan Israel pada 7 Oktober.
Israel mendakwa serangan Hamas membunuh kira-kira 1,140 orang, kebanyakannya orang awam.