Pentadbiran Trump kini merancang langkah drastik untuk mengenakan cukai (duti) tambahan ke atas barangan import dari 60 buah ekonomi dunia, dan Malaysia adalah salah sebuah daripadanya.
Tindakan ini diambil selepas negara-negara terbabit didakwa masih gagal membendung pengeluaran produk yang menggunakan tenaga buruh paksa.
Menerusi siasatan amalan perdagangan tidak adil di bawah Seksyen 301, Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) menyifatkan kegagalan tersebut sebagai sesuatu yang tidak munasabah dan secara langsung menyekat potensi perdagangan Amerika Syarikat (AS).
Bagi menzahirkan rasa tidak puas hati itu, Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer tampil menyuarakan ketegasannya.
“Sikap lepas tangan rakan dagang utama kita dalam menangani isu lambakan barangan buruh paksa ini memang tidak boleh diterima sama sekali!” tegas Greer.
Beliau turut meluahkan rasa kesal terhadap kesan situasi tersebut kepada rakyat tempatan, “Bayangkan, keadaan ini telah mewujudkan satu persaingan global yang sangat berat sebelah. Secara tidak langsung, ia memaksa pekerja kita di Amerika untuk terus bertarung di medan ekonomi yang langsung tidak adil.”
Siapa Kena 10% dan Siapa Kena 12.5%?
Sebagai langkah ‘hukuman’, USTR telah menetapkan dua kadar tarif yang berbeza mengikut negara yang disiasat:
Tarif Tambahan 10%: Dikenakan ke atas Malaysia, Kanada, Kesatuan Eropah (EU), Indonesia, Mexico, United Kingdom (UK), Ecuador, Pakistan, Argentina, Bangladesh, Kemboja, El Salvador, Guatemala, dan Taiwan.
Tarif Tambahan 12.5%: Bakal menimpa baki 45 negara lain yang turut tersenarai dalam siasatan buruh paksa ini.
Pengecualian Khas
Namun, usah panik dahulu. Tidak semua barangan akan terkena tempias cukai baharu ini. USTR telah memberikan pengecualian kepada beberapa produk kritikal, antaranya:
1. Tenaga dan unsur nadir bumi *(rare earths)
2. Logam-logam tertentu
3. Produk makanan (daging lembu, kopi, buah-buahan, dan sayur-sayuran)
4. Produk farmaseutikal dan bahan kimia organik
5. Alat ganti pesawat penerbangan
Selain itu, USTR turut mencadangkan satu mekanisme mesra untuk sektor tekstil. Menerusi mekanisme ini, sejumlah kuota pakaian dan tekstil masih boleh memasuki pasaran AS pada kadar tarif yang lebih murah, walaupun angka rasminya belum didedahkan.
Mengapa Sekarang?
Langkah terbaharu USTR ini dilihat sebagai ‘pelan gantian’ pentadbiran Trump untuk membina semula tarif kecemasan mereka. Terdahulu, pada 20 Februari lepas, Mahkamah Agung AS telah membatalkan tarif yang diperkenalkan oleh Trump di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA), yang mana tempoh tarif sementara itu bakal tamat tidak lama lagi.
Bukan isu buruh paksa sahaja yang menjadi tumpuan USTR ketika ini. Pada hari Isnin lalu, mereka turut mencadangkan cukai setinggi 25 peratus ke atas barangan dari Brazil susulan isu amalan perdagangan digital negara tersebut.
Malah, dalam masa terdekat, USTR dijangka akan meletupkan satu lagi pengumuman besar melibatkan siasatan lebihan kapasiti industri terhadap 16 rakan dagang yang lain, termasuklah gergasi ekonomi, China.
Bagi mana-mana pihak yang ingin menyuarakan pandangan atau bantahan mengenai cadangan tarif buruh paksa ini, USTR akan membuka ruang maklum balas awam sehingga 6 Julai, disusuli dengan sesi pendengaran rasmi pada 7 Julai ini.