Bekas pemain tengah PKNS FC, Mohd Fauzan Dzulkifli memberikan nasihat ikhlas ketika melihat semakin banyak pasukan bola sepak tanah air mengalami masalah tunggakan gaji.

Isu culas dalam membayar gaji pemain bukan sahaja dihadapi pasukan dalam saingan Liga Super sahaja, malah ia pada ketika ini sudah merebak hingga ke Liga M3 dan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).

Baca Juga:

Masalah ini semakin meruncing saban tahun dan begitu banyak cerita kurang enak dapat kita dengari melibatkan isu tunggakan gaji pemain dan barisan kejurulatihan pasukan.

Seperti yang dapat disaksikan di media sosial, pasukan PIB Shah Alam terpaksa bermain dalam kempen Liga A1 dengan sembilan pemain kerana sedang mengalami masalah tunggakan gaji.

Keadaan itu membuatkan Fauzan yang berpengalaman luas dalam saingan Liga Super untuk memberikan nasihat berguna kepada pemain bola sepak.

“Buat kawan-kawan yg masih aktif dan mengharapkan bola sepak ini adalah punca pendapatan utama, boleh lupakan. Carilah kerja yang lebih menjamin pendapatan keluarga dan masa depan.”

“Bola sepak sekarang bukan macam dulu. Kita ada keluarga yang perlu ditanggung. Ada komitmen perlu dibayar. Bukan bermain secara suka suka tanpa dibayar gaji.”

“Kesian pada pemain yg 6-7 bulan tidak di bayar gaji.Masih ada lagi ke hati utk main?”

“Jangan cerita pasal semangat kenegerian kalau anak bini di rumah tak boleh diberi nafkah.Fikirkanlah diri sendiri dan keluarga terlebih dahuu baru orang lain.”

“Semoga dipermudahkan urusan semuanya,” ujar Fauzan mengulas mengenai perkara tersebut di laman Facebook rasmi miliknya, sebentar tadi.

Fauzan Dzulkifli yang turut pernah beraksi bersama Selangor, Felda United, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan kini beralih kerjaya sebagai Perancang Kewangan.