Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin telah memohon perkenan untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah susulan isu hukuman yang dikenakan ke atas Selangor FC (SFC).

Sultan Selangor menzahirkan rasa kecewa dan murka selepas MFL membuat keputusan untuk menjatuhkan hukuman denda RM100,000, dipotong 3 mata serta diperintah bermain di stadium kosong ketika menentang JDT.

Baca Juga:

Hamidin menjelaskan beliau sudahpun menghubungi pihak Istana Selangor mengenai pertemuan untuk menghadap Sultan Sharafuddin dan akan memberi penjelasan di hadapan baginda.

“Saya sudah menghubungi pihak Istana Selangor semalam. Pagi ini saya turut menghantar surat rasmi bagi memohon menghadap DYMM Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj.

“Saya memahami dukacita DYMM Tuanku. Izinkan saya menghadap Tuanku terlebih dahulu,” katanya kepada pihak media.

Sultan Selangor dalam satu kenyataan rasmi menyatakan terkejut dan kecewa dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang disifatkan tidak serius bersuara, sedangkan beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor.

Hamidin juga merupakan penerima darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) daripada Sultan Selangor.

Sultan Selangor turut menyifatkan hukuman yang diumumkan oleh MFL adalah tidak masuk akal dan sangat berlebihan.

“Beta berpandangan bahawa hukuman yang dijatuhkan iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan,” kata baginda.