Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria merasa kecewa kerana keluarganya mendapat kecaman selepas isu kuota khas yang diberikan kepada beliau.

Memetik laporan malaysiakini, beliau bekerja secara percuma dan tidak mendapat bayaran dari dua persatuan yang dipimpinnya kerana mahu membawa kecemerlangan buat negara.

Baca Juga:

“Saya tidak menerima sebarang gaji daripada kedua-dua pertubuhan mahupun elaun. Saya ingin membantu membawa kecemerlangan dan kebanggaan kepada negara kita.

“Serangan terhadap keluarga saya ini sama sekali tidak perlu dan keluarga saya tidak perlu melalui sorotan sedemikian,” katanya.

Sebelum ini, Norza menegaskan dia mempunyai kuota khas untuk membawa tetamu sendiri bagi menonton acara dalam temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris. Menurut beliau, kuota yang diberikan kepada beliau tiada kena mengena dengan atlet atau pegawai pasukan yang mewakili negara.

“Sebagai presiden BAM dan MOM saya diberikan peruntukan untuk bawa tetamu sendiri. Saya ada kuota khas, tidak kena-mengena dengan atlet,” katanya.

MOM kemudiannya tampil mempertahankan presidennya dengan mengatakan menggunakan wangnya sendiri untuk membiayai perbelanjaan keluarganya ke Paris. Begitu juga dengan semua perbelanjaan sepanjang berada di Paris juga menggunakan wang peribadi Norza, kata MOM.

Ahli keluarga Norza hanya dibantu untuk memudahkan akses mereka ke arena atau venue pertandingan oleh MOM dan IOC sendiri.

Apa yang pasti MOM memberikan jaminan tiada duit kerajaan atau wang hasil cukai rakyat digunakan oleh Norza.

Selain itu MOM mengesahkan bahawa kehadiran Norza di Sukan Olimpik, bersama sama dengan ahli keluarganya, mematuhi sepenuhnya peraturan IOC dan MOM.

“Pada saat ini, adalah penting bagi kita sebagai rakyat Malaysia memberi tumpuan kepada perkara paling penting, iaitu menghulurkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada atlet negara yang mewakili negara di pentas dunia.

“Marilah kita bersatu hati dan menyalurkan tenaga kita untuk meraikan pencapaian mereka dan menggalakkan usaha mereka.