Baru-baru ini, media sosial sedikit kecoh mengenai rekaan logo baharu bagi kempen pelancongan “Visit Truly Terengganu 2027”.

Terdapat pelbagai reaksi dan rungutan daripada orang awam, terutamanya dalam kalangan peserta pertandingan mencipta logo tersebut yang mempertikaikan pemilihan pemenang serta mendakwa proses penilaiannya tidak adil.

Daripada 244 penyertaan yang diterima, logo yang dipilih telah menimbulkan tanda tanya. Malah, ada juga yang mempertikai rekaan logo yang dilabel sebagai terlalu ringkas dan tidak profesional.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Terengganu tampil memberikan penjelasan yang tenang dan munasabah di sebalik pembikinan logo tersebut.

Penyu Terus Menjadi Kebanggaan

Walaupun Terengganu kini semakin pesat membangun dan sarat dengan pelbagai mercu tanda baharu, ikon penyu tetap diangkat sebagai kebanggaan dan simbol utama kempen pelancongan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris menjelaskan bahawa logo terbaharu ini adalah satu penambahbaikan dan kesinambungan (nilai tambah) daripada rekaan yang pernah diperkenalkan pada tahun 2007.

Menariknya, jika rekaan dahulu kelihatan agak statik dan kaku seperti patung, logo versi baharu ini disuntik dengan warna-warni dan bentuk yang melambangkan pergerakan yang lebih dinamik.

Keseimbangan Estetika dan Pematuhan Syariah

Mungkin ada yang perasan bahawa lukisan penyu pada logo baharu ini kelihatan agak abstrak. Sebenarnya, reka bentuk fizikal penyu tersebut sengaja dihasilkan secara tidak lengkap bagi memastikan ia selaras dengan garis panduan dan syariat Islam.

Menurut Datuk Razali, pendekatan ini diambil bagi mengelakkan isu berkaitan hukum penghasilan patung binatang yang lengkap sifat fizikalnya di dalam Islam.

Alasan ini sangat praktikal kerana logo ini akan dicetak pada pelbagai medium termasuk barangan cenderamata dan pakaian rasmi untuk satu tempoh yang agak panjang.

Memandangkan umat Islam tidak dibenarkan mendirikan solat memakai pakaian yang mempunyai lambang atau lukisan binatang yang cukup sifat, rekaan logo ini dilihat sangat teliti dalam menjaga sensitiviti agama pelancong dan rakyat tempatan.

Sektor Pelancongan Terengganu Terus Mekar

Ketepikan seketika isu logo, industri pelancongan Terengganu sebenarnya sedang mencatatkan prestasi yang sangat membanggakan.

Kerajaan negeri kekal optimis untuk mencapai sasaran kehadiran sembilan juta pelancong menjelang akhir tahun ini. Berdasarkan rekod bagi tiga bulan pertama tahun ini, seramai 2.45 juta pelancong telah pun memilih Terengganu dan kepulauan permainya sebagai destinasi percutian.

Bukan itu sahaja, data kemasukan kenderaan melalui plaza tol turut menunjukkan angka yang luar biasa. Kemasukan kenderaan direkodkan melepasi angka 600,000 pada Mac dan April, sebelum terus melonjak kepada 829,000 kenderaan pada bulan Mei, dan 608,000 pada bulan Jun.

Sesebuah rekaan seni pastinya tidak akan lari daripada pandangan dan tafsiran yang berbeza-beza.

Namun, penjelasan di sebalik penciptaan logo “Visit Truly Terengganu 2027” membuktikan bahawa setiap perinciannya telah difikirkan dengan sedalam-dalamnya.

Ia bukan sekadar satu tarikan visual untuk pelancong, tetapi juga cerminan jati diri Terengganu yang teguh memelihara identiti warisan serta berpegang teguh pada syariat Islam.

Sumber