Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai kenyataan daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menegaskan bahawa pemasangan pelindung cahaya matahari atau ‘sunshade’ pada kenderaan adalah satu kesalahan jika tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Malah, netizen mula rasa ‘kurang senang’ apabila mengetahui kesalahan tersebut boleh membawa kepada kompaun sehingga RM300.

Dengan keadaan cuaca di Malaysia yang membahang sekarang, aksesori itulah yang menjadi penyelamat pemandu dan penumpang daripada ‘terbakar’ di dalam kereta.

Bagaimanapun, isu ini akhirnya mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang tampil memberikan penjelasan yang cukup melegakan hati orang ramai.

JPJ Ada Peraturan, Tapi Bukan Keutamaan Mendadak

Menurut Anthony Loke, pihak JPJ sememangnya mempunyai pelbagai tindakan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap orang awam sekiranya sesuatu kesalahan itu dikesan mengikut akta sedia ada, petik Berita Harian.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keutamaan pihak berkuasa ketika ini adalah kekal terhadap kes-kes kritikal yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya secara langsung.

“Ada banyak (kesalahan jalan raya) tetapi lebih banyak perkara kritikal terhadap keselamatan (yang menjadi keutamaan JPJ). Ia bukan tidak penting tetapi perkara-perkara sebegini (sunshade) bukan keutamaan.”

@bharianmy

Pasang ‘sunshade’ satu kesalahan… ini jawapan Menteri Pengangkutan beritaditiktok

♬ original sound – Berita Harian – Berita Harian

“Sekarang Cuaca Panas, Jadi Faham…”

Beliau turut menambah bahawa pihak kementerian memahami situasi semasa pemandu di Malaysia yang berdepan dengan cuaca terik. Tujuan peraturan itu wujud bukanlah untuk menakut-nakutkan orang ramai, sebaliknya fokus JPJ adalah isu yang jauh lebih besar dan berbahaya.

Fokus Utama JPJ: Lumba haram, pemandu mabuk, pemanduan secara haram, dan gejala rempit yang jelas membahayakan nyawa orang lain.

Isu Sunshade: Walaupun spesifikasi itu ada dalam buku peraturan, ia sama sekali tidak diletakkan sebagai agenda utama untuk diburu.

Setakat Ini, Tiada Lagi Saman Dikeluarkan

Bagi meredakan kegusaran pemilik kenderaan, Anthony Loke turut mengesahkan bahawa pihak JPJ tidak pernah mengeluarkan sebarang saman terhadap mana-mana pengguna kenderaan yang memasang sunshade setakat ini.

Beliau menjelaskan situasi sebenar mengapa isu ini timbul adalah disebabkan jawapan teknikal yang diberikan oleh pegawai di lapangan apabila ditanya oleh media atau orang awam.

“Sekiranya anda tanya pengarah JPJ negeri, dia mesti akan jawab. Dia tidak boleh jawab peraturan ini tiada kerana ia sememangnya ada. Itulah situasi sebenar isu ini,” jelas beliau semasa taklimat khas media berhubung Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2025.