Filem Jab Harry Met Sejal memaparkan sisi-sisi Shah Rukh Khan yang akan buat anda menyumpah, terkedu dan mungkin ada yang sampai mahu tutup muka ketika menonton. Anda juga akan terasa hati dengan filem ini. Ya, terasa. Filem ini seakan menyindir orang-orang yang selama ini bersikap tabu terhadap pendidikan seks.

Filem terbaru hindustan ini mengisahkan tentang Sejal mencari cincin pertunangannya yang hilang ketika melancong. Sejal meminta pemandu pelancong bernama Harry untuk menolongnya. Namun Harry menolak dan tidak mahu membantu Sejal kerana khuatir tabiat buaya daratnya ‘terlepas’, akibatnya nanti pekerjaannya akan terjejas.

Ada satu babak di mana Harry berterus-terang dengan Sejal bahawa dia seorang womanizer (buaya darat). Harry beritahu pada Sejal tanpa berselindung yang dia ada ‘masalah’ kalau dekat dengan perempuan. Disebabkan Harry tidak mahu ‘masalah’ itu terjadi, dia mahu Sejal menjauhkan diri daripadanya.

Harry sebenarnya risau dan sudah penat, lima kali dia telah diberhentikan kerja disebabkan tabiat buruk diri sendiri. Kerana itu apabila Sejal tiba-tiba muncul dan minta tolong, Harry rasa teragak-agak. Dia tidak mahu ambil risiko lagi sebab dia tahu dia tidak boleh kawal diri. Harapan Harry jika dia berterus-terang, Sejal akan takut, benci dan menjauhkan diri daripada dia.

Malangnya, Sejal mahu test power. Tanya Sejal:

“Jadi kamu tak mahu teman saya, sebab kamu takut along the way kita akan melakukan hubungan intim?”

Terkedu si Harry, sampai terbangun dari kerusi. Sejal kata lagi – cuma Harry yang ada ‘masalah’ itu. Dia tidak ada masalah. Dia boleh jaga diri. Ya, Sejal kata dia boleh jaga diri.

Saya ingin highlight sentuhan komunikasi di antara Harry dan Sejal di dalam babak ini, berterus-terang tentang diri kepada orang asing bukanlah satu langkah yang mudah. Namun setidaknya kita telah melangkah untuk meleraikan keserabutan dan ketidakpastian sendiri. Lihat Sejal yang dengan sendirinya menjadi lebih memahami setelah Harry berterus-terang.

Minit-minit awal di dalam filem ini penting dan begitu menyentuh. Ia menceritakan introspeksi Harry terhadap kehidupan melalui lagu Safar yang bermaksud “perjalanan”.

Dalam liriknya menyebut,

“I befriend with milestones,
the path knows me by my gait,
everyday,
the world feels the same everyday.

From city to city, I sell leisure,
I leave empty handed and return empty handed too,
everyday, everyday
I am a stranger to myself.

This age, this time,
this road keeps passing by
I am a man the journey has chosen.”

Lagu ini menyampaikan tentang kekosongan dalam diri Harry. Harry berperang dengan ketakutan masa lalu setiap hari sehingga dia merasakan kehidupan ini sama saja. Kerjanya sebagai pemandu pelancong yang membuat dia berjumpa dengan banyak orang, tetap juga membuat dia berasa sunyi.

Akhirnya dia terdesak untuk mengisi kesunyian itu dengan menjadi womanizer. Namun deep down inside, setiap hari Harry berharap kehidupannya berubah.

Mengapa saya kata filem ini menyindir orang-orang yang bersikap taboo terhadap pendidikan seks?

1. Tabu Seks Dalam Masyarakat

Membicarakan tentang seks secara terbuka adalah tidak patut kerana ia bukan budaya kita, namun kita terlupa seks mempunyai hubungan dengan moral dan kepercayaan individu. Kita menjadi orang dewasa yang sensitif dengan perkataan ‘seks’ sehingga kita bertelagah antara satu sama lain tetapi kita lupa kita pernah ketawa dengan lawak-lawak lucah di rancangan TV dan di tempat kerja.

Kita takut pendidikan seks akan menyemarakkan lagi anak-anak luar nikah. Kita takut anak-anak yang tidak tahu apa-apa tiba-tiba menjadi obses. Namun kita lupa 75% anak-anak kita telah pun terjebak dengan pornografi seusia 10 hingga 17 tahun dan negara kita telah pun ada perogol termuda berusia 11 tahun.

Kita begitu skeptikal dengan seks sehingga kita tidak sedar kita telah pun menjadi ibu bapa yang pasif. Kita mahu mengalihkan perhatian anak-anak kita dari seks sehingga kita meragui pendidikan seks. Kita lupa anak-anak kitalah yang paling lama meluangkan masa dengan internet sebanyak 20.9 jam/minggu.

Kita lupa anak-anak kita lebih pandai menggunakan telefon pintar berbanding kita, mereka lebih tahu tentang aplikasi Telegram, WhatsApp, WeChat, Instagram dan Tumblr. Ketika kita sedang menutup mulut dari bercakap tentang seks, kita lupa anak-anak kita boleh mendapat akses ke saluran seks di aplikasi sosialnya.

Kita lupa mereka terdedah dengan laman-laman pornografi yang ada sebanyak 4.2 juta di Internet, dan 2.6% anak-anak kita telah pun melihatnya secara sukarela.

Kita menekankan tentang pendidikan Islam dari pendidikan seks kerana negara kita majoritinya Islam. Namun kita lupa catatan di laman Root of Science, Kuala Lumpur telah pun menjadi bandar ke-11 tertinggi di dunia, dan naik kedudukan ke-7 setakat bulan September 2014 – yang rakyatnya melakukan carian di Google dengan ‘keyword’ yang spesifik ke arah pornografi.

Kita lupa, kajian dari Pakar sosial Universiti Putra Malaysia, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran yang mendapati 85% responden remaja melakukan hubungan seks kerana keseronokan.

Kita mengingatkan anak-anak kita, berhubungan seks sebelum kahwin adalah haram, namun kita lupa mengajar mereka berhubungan seks atas dasar cinta dan kasih sayang itu bagaimana. Kita marah anak-anak kita, tetapi kita malu untuk belajar cara mengajar anak-anak tentang seks.

2. Apa Yang Kita Tahu

Dan kita selama hari ini, menjadi salah seorang dari 31.7 juta rakyat Malaysia yang membangsatkan 1 orang bapa kerana menganiaya anaknya secara seksual sebanyak 626 kali sejak bercerai dengan isteri. Kita juga telah membodohkan 1 orang guru yang memuat naik gambar ‘permintaan seks’ daripada anak muridnya di Facebook.

Kita takut, kita lupa, kita pasif. Kita tidak tahu berapa peratus anak-anak yang dulunya terdedah dengan pornografi kini telah menjadi lelaki dan perempuan dewasa. Kita tidak tahu berapa peratus dari mereka yang telah pun menyumbang kepada angka kes rogol yang sebanyak 13,272 sejak tahun 2010 sehingga Mei 2017.

Kita lupa yang kita tidak tahu, berapa peratus kes-kes penderaan seksual yang tidak dilaporkan. Kita tidak tahu berapa peratus mangsa-mangsa yang takut, malu dan hanya senyapkan diri. Kita tidak tahu berapa peratus pengetahuan anak-anak tentang kesalahan dari segi undang-undang walaupun mereka melakukan seks suka sama suka.

Kita tidak tahu berapa peratus masyarakat yang masih peduli. Kita tidak tahu berapa peratus guru yang boleh mendidik tentang seks secara ilmiah dan kreatif. Dan kita juga tidak tahu berapa peratus ibu bapa yang tidak pasif.

Yang kita tahu, kita masih bertelagah di Parlimen dan membiarkan angka-angka yang tersembunyi ini menjadi lebih ngeri dan menakutkan.

3. Pendidikan Seks

Didiklah tentang seks, supaya anak-anak perempuan tidak menjadi seperti Sejal yang berasa ‘terhina’ jika tidak berjaya menarik lelaki untuk tubuh badan. Didiklah tentang seks, supaya anak-anak lelaki tidak terdesak seperti Harry sehingga perempuan dimurah-murahkan.

Cukup-cukuplah kita membiarkan filem ini menyindir kita.