Ketua Umum Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir menetapkan satu tradisi yang harus dicapai oleh skuad kebangsaan negara itu.

Menurutnya, layak ke temasya Sukan Olimpik dan juga Piala Dunia wajar dijadikan sebagai tradisi dan beliau percaya sasaran itu boleh dicapai.

Baca Juga:

“Sebenarnya perkara paling penting bukan sekadar layak ke Piala Dunia dan Sukan Olimpik. Tetapi persoalannya, mampukah kita bertahan untuk layak ke Sukan Olimpik dan Piala Dunia,” katanya.

Menurut Erick Thohir, sasaran itu boleh dicapai dengan asas yang kukuh dalam pengurusan PSSI dan terus memacu bola sepak di peringkat akar umbi. Ini untuk menjadikan masa depan bola sepak Indonesia lebih baik.

“Insya-Allah, langkah ini adalah untuk dapat melihat Garuda terbang tinggi sehingga ke pentas dunia iaitu Piala Dunia dan Sukan Olimpik.

“PSSI tidak akan berhenti belajar untuk meningkatkan kualiti dari negara gergasi Asia dan Eropah, termasuk dengan JFA (Persekutuan Bola Sepak Jepun), DFB (Persekutuan Bola Sepak Jerman) dan KNVB (Persekutuan Bola Sepak Belanda),” tambahnya.

Sejak memegang jawatan sebagai ketua umum, Erick berjaya mendapatkan khidmat pemain warisan yang mempunyai kacukan Belanda bagi membantu skuad Garuda di peringkat antarabangsa.

Langkah itu membuahkan hasil apabila skuad bimbingan Shin Tae-yong menampilkan prestasi cemerlang di beberapa kejohaan seperti Piala Asia, AFC B-23 Tahun dan baru-baru ini menjadi satu-satunya pasukan dari rantau Asia Tenggara yang beraksi dalam saingan kelayakan pusingan ketiga Piala Dunia 2026.

Erick yang juga Menteri Syarikat Milik Negara (BUNM) berjanji akan bekerja lebih keras pada 2025 bagi memastikan Indonesia mampu untuk tampil dengan cemerlang di peringkat antarabangsa.

“Tahun baru, harapan baru dan semangat baru untuk melihat Indonesia maju, makmur dan tampil cemerlang di peringkat dunia,” katanya.