Tamatnya perlawanan Argentina bertemu Croatia pada lewat malam tadi telah melengkapkan kesemua lapan pasukan yang akan bertanding di suku akhir Piala Dunia Futsal 2024.
Hasrat untuk melihat Thailand menjadi wakil tunggal Asia meneruskan kemaraan tidak kesampaian apabila anak buah Miguel Rodrigo tersebut terpaksa akur dengan kehebatan Perancis.
Baca Juga:
- Piala Dunia Futsal 2024: Tiga Pasukan Gergasi Dunia Pulang Awal
- Senarai Penuh Negara Bertanding Dalam Piala Dunia Futsal 2024
- Nostalgia Malaysia Mengharungi Piala Dunia Futsal 1996 Tanpa Pengalaman Futsal
Ia sekali gus menyaksikan tiada wakil dari benua Asia yang akan meneruskan saingan selepas Iran dan Afghanistan terlebih dahulu mengucapkan selamat tinggal.
Tumpuan ketika ini terarah kepada dua pertembungan hebat iaitu menemukan Brazil dan Maghribi manakala Argentina pula akan membuat perhitungan dengan Kazakhstan.
Daripada senarai lapan pasukan tersebut, hanya Brazil dan Argentina sahaja yang pernah mengecapi nikmat selaku juara kejohanan paling berprestij ini.
Brazil merupakan juara lima kali dimana memenanginya di edisi 1989 (Belanda), 1992 (Hong Kong), 1996 (Sepanyol), 2008 (Brazil) dan 2012 di Thailand.
Sementara itu, Argentina muncul juara ketika edisi 2016 yang berlangsung di Colombia dan turut mara ke final pada edisi berikutnya (2021) tetapi dikecewakan oleh Portugal.
Dengan terkeluarnya Portugal, Sepanyol dan Iran daripada persaingan, lebih menarik untuk meyaksikan kelibat pasukan-pasukan seperti Maghribi, Ukraine, Venezuela, Perancis dan Paraguay berada di suku akhir.
Berikut merupakan jadual penuh perlawanan suku akhir Piala Dunia Futsal 2024 yang bakal bermula malam esok:
1) Brazil lawan Maghribi – 29 September – 8.30 malam
2) Ukraine lawan Venezuela – 29 September – 11.00 malam
3) Perancis lawan Paraguay – 30 September – 8.30 malam
4) Kazakhstan lawan Argentina – 30 September – 11.00 malam