Kehangatan Sepak Takraw League (STL) Grand Prix (GP) Pulau Pinang semakin dirasakan dengan empat aksi suku akhir bakal berlangsung pada petang ini.
Walaupun tanpa pasukan tuan rumah, Penang Black Panthers yang tersingkir awal, SPICE Arena tetap akan menggamit kehadiran pencinta sukan tradisi tersebut.
Baca Juga:
- STL 2024: Jadual Penuh Perlawanan GP Pulau Pinang
- Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Format Baharu Liga Premier STL 2024
- Luciano Guaycochea Teruja Tonton Aksi STL 2024, Anggap Sepak Takraw Sukan Yang ‘Gila’
Juara tiga GP berturut-turut iaitu Kuala Lumpur (KL) Thunder mengetuai cabaran tersebut bersama-sama Selangor Pistons, Perak Bison, Johor Tigris, Terengganu Turtles, Negeri Sembilan Antlers, ATM Guardians dan PDRM Defenders.
Malah, KL Thunder yang semakin hampir untuk dinobatkan selaku juara keseluruhan pastinya tidak mahu impian juara buat kali keempat pada musim ini dicalarkan oleh pasukan lain.
Aksi suku akhir pertama GP Pulau Pinang bakal menyaksikan pertemuan antara Selangor Pistons dan Perak Bison yang dijadualkan berlangsung pada jam 3.00 petang ini.
Menyusul selepas itu adalah perlawanan Johor Tigris menentang Terengganu Turtles pada jam 4.30 petang dan Negeri Sembilan Antlers pula akan berhadapan dengan ATM Guardians di sebelah malam (8.00 malam).
Aksi terakhir melibatkan KL Thunder dan PDRM Defenders pula akan berlangsung pada jam 9.30 malam.
Berdasarkan kepada undian yang dilakukan malam tadi, pemenang suku akhir pertama (Selangor Piston atau Perak Bison) akan bertemu pemenang suku akhir kedua (Johor Tigris atau Terengganu Turtles).
Ini bermakna juga Negeri Sembilan Antlers atau ATM Guardians akan menentang pemenang antara KL Thunder dan PDRM Defenders.