Perak Bison melangkah ke separuh akhir saingan Sepak Takraw League (STL) 2024 Grand Prix (GP) Pulau Pinang selepas berjaya menundukkan Selangor Pistons hasil kemenangan 2-1, sebentar tadi.
Lebih menarik, ia merupakan kemenangan keempat berturut-turut dilakarkan Perak Bison ke atas Selangor Pistons selepas berakhirnya empat GP.

Baca Juga:
- Luciano Guaycochea Teruja Tonton Aksi STL 2024, Anggap Sepak Takraw Sukan Yang ‘Gila’
- STL 2024 GP Selangor: Perak Bison Pamer Kebangkitan Untuk Ke Final
- STL 2024 GP Selangor: Perak Bison Tempah Slot Separuh Akhir
Membariskan Kritsada Sungvung dan Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin selaku tekong, Muhammad Noraizat Mohd Nordin (apit kanan) serta Aidil Aiman Azwawi (apit kiri), Perak Bison jelas memiliki kelebihan berdasarkan pengalaman luas trio tersebut.
Lawan mereka iaitu Zuhri Mohd Zain (tekong), Muhammad Ariff Daniel Mohd Aripin (apit kanan), Jefri Ahmad selaku apit kiri pada mulanya dapat memberikan saingan sengit hingga menang set kedua tetapi akhirnya terpaksa akur dengan kemampuan ‘abang senior’ mereka.
Perak Bison yang tewas pada aksi bertemu Negeri Sembilan Antlers pada saingan kumpulan semalam bagaimanapun ketinggalan 4-6 dan 6-8 pada peringkat awal permainan berikutan servis menarik dijelmakan Zuhri.
Namun, ketenangan Kritsada, Noraizat dan Aidil dalam menyerap tekanan membolehkan mereka bangkit mengutip mata demi mata hingga berjaya memenangi set pertama dengan 15-10.
Skrip berbeza pada set kedua apabila pemain Perak Bison dilihat hilang punca terutamanya menerusi Kritsada dan Noraizat Nordin yang beberapa kali melakukan kesilapan mudah dalam tugasan masing-masing.
Kesempatan itu diambil sepenuhnya oleh Selangor Pistons untuk memenangi set kedua 15-10 bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Aksi yang cukup mendebarkan turut dapat disaksikan pada set ketiga dimana kedua-dua regu saling kejar-mengejar mata dimana akhirnya memihak Perak Bison dengan kemenangan 15-12.
Dengan kejayaan tersebut, Perak akan menanti pemenang antara Johor Tigris dan Terengganu Turtles yang akan beraksi sebentar lagi.