Pemain import Perak, Luciano Guaycochea jelas cukup teruja dapat menyaksikan perlawanan sepak takraw Sepak Takraw League (STL) 2024 di Stadium Indera Mulia, Perak.
Ia merupakan pengalaman pertama buat Luciano menonton sukan tradisi itu selepas barisan pemain skuad Liga Super Perak dijemput sebagai tetamu istimewa ketika pertemuan Perak Bison menentang PDRM Defenders kelmarin.
Baca Juga:
- Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Format Baharu Liga Premier STL 2024
- Senarai Penuh Pemain Dalam Liga Premier STL 2024
- STL 2024: Kritsada & Treepong Perkuatkan Perak Bison Hadapi Musim Baharu
Selain aksi menarik dengan pelbagai skill ditampilkan para pemain terutamanya ketika melakukan libasan, penyokong yang membanjiri stadium juga menghangatkan lagi suasana di sana.
Lebih manis, Perak Bison turut beraksi cemerlang menewaskan PDRM Defenders 15-9, 15-13 untuk meletakkan pasukan tuan rumah tersebut sebagai juara kumpulan.
“Ini merupakan pengalaman pertama saya (menyaksikan perlawanan sepak takraw), seperti yang saya katakan tadi ia merupakan satu sukan yang ‘gila’ kerana sangat sukar untuk dimainkan.”
“Tetapi saya sangat menikmatinya dengan kawan-kawan lain jadi saya gembira untuk berada di sini. Sangat gembira saya melihat para penyokong, semua gembira di sini, syukur Perak menang.”
Ketika pengacara Astro Arena, Azlan Mubin bertanyakan pilihan sekiranya diberikan peluang untuk beraksi ketika sesi temubual selepas perlawanan, ini reaksi Luciano:
“Saya rasa saya tak boleh bermain sukan ini, ia sangat ‘melampau’. Saya akan memilih untuk menjadi apit kanan tetapi hanya dengan menggunakan kepala sahaja,” ujar Luciano Guaycochea.
Saingan STL GP Perak bakal memasuki saingan separuh akhir sebentar lagi apabila tuan rumah berdepan tugas getir apabila akan berhadapan dengan KL Thunder.
Manakala satu lagi aksi separuh akhir menemukan Selangor Pistons dan ATM Guardians. Perlawanan akhir akan berlangsung pada 9.30 malam ini.