Kem JDT boleh menarik nafas lega mengenai keadaan penyerang import mereka, Jairo Da Silva.

Selepas mengalami kecederaan kepala yang membimbangkan dalam aksi AFC Champions Leaague Elite (ACLE) 2025/26 menentang Al-Ahli malam tadi, pemain kelahiran Brazil itu dilaporkan sudah pun dibenarkan keluar dari hospital.

Perkembangan terkini yang melegakan peminat JDT itu disahkan menerusi satu kenyataan rasmi ringkas di laman sosial JOHOR Southern Tigers.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengucapkan Jairo Da Silva semoga cepat sembuh selepas terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan kepala ketika aksi Liga Juara-Juara AFC Elit bertemu Al Ahli di Arab Saudi malam semalam.”

“Jairo yang menghasilkan bantuan jaringan untuk gol JDT telah menjalani X-Ray dan imbasan CT di Kompeks Perubatan Raja Abdullah sebagai langkah penjagaan awal dan telah menerima beberapa jahitan di bibir yang terkoyak. Jairo telah dibenarkan keluar dari hospital.”

Malang Buat Jairo

Beberapa minit selepas melakukan bantuan jaringan terhadap gol pertama pasukan pada minit ke-19, Jairo mengalami kecederaan di bahagian muka selepas cubaannya untuk menanduk bola udara terkena kaki Ali Majrashi yang melakukan sepakan gunting dalam usaha mengeluarkan bola.

Insiden mencemaskan itu membuatkan rakan sepasukannya pantas meminta bantuan kakitangan perubatan hingga menyebabkan pergeseran ketua pasukan Natxo Insa dengan pasukan medik.

Natxo Insa dilihat gagal mengawal emosi ketika petugas perubatan sedang lewat untuk membawa masuk pengusung (stretcher).

Akibat terlalu cemas dan mahukan bantuan segera diberikan kepada rakannya, Natxo dilihat telah menendang salah seorang petugas medik yang sedang mengangkat pengusung di tepi padang.

Tindakan itu dipercayai berpunca daripada perasaan berang terhadap tindakan kakitangan perubatan tersebut yang dianggap agak lambat dan tidak cukup pantas untuk bertindak dalam situasi kecemasan itu.

Pergeseran tersebut sempat dirakam oleh lensa kamera dan kini sedang tular di media sosial, dengan rata-rata netizen memberikan reaksi berbeza mengenai tindakan luar kawal pemain veteran tersebut.