Setiap tahun, Thailand sentiasa menjadi antara destinasi percutian dan penghijrahan pilihan utama warga asing dari seluruh dunia.
Namun, di sebalik sikap terbuka negara gajah putih itu menyambut lambakan orang luar, ada segelintir pihak yang mula bersikap naik lemak dan mengambil kesempatan ke atas undang-undang tempatan.
Melihat kepada situasi yang semakin membimbangkan ini, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul tidak lagi berdiam diri.
Beliau baru-baru ini tampil mengeluarkan kenyataan yang cukup tajam dan berbaur amaran kepada mana-mana warga asing yang sengaja mencetuskan masalah di negara tersebut.
Isu Tanah Perkuburan Haram Cetus Ketegangan
Segalanya bermula apabila timbul rentetan isu mengenai permohonan mewujudkan tanah perkuburan persendirian dan pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan yang sewajarnya.
Kemarahan pihak berkuasa memuncak apabila mereka terpaksa mengambil tindakan terhadap sebuah tapak perkuburan Yahudi yang terletak di daerah Bang Khla, dalam wilayah Chachoengsao. Hasil siasatan mendapati tapak tersebut telah beroperasi walaupun lesen sah mereka sebenarnya sudah tamat sejak tahun 2023 dan tidak pernah diperbaharui.
Lebih mengejutkan, pemeriksaan lanjut menemui empat mayat yang dikebumikan di kawasan tersebut selepas tarikh lesen tamat. Tiga daripadanya adalah warga Israel manakala seorang lagi merupakan warga Britain.
Malah, dua daripada individu yang terbabit didapati tinggal di Thailand melebihi tempoh visa yang dibenarkan. Kesemua empat kubur tersebut kemudiannya dipindahkan pada 15 September ke kawasan perkuburan baharu yang mempunyai lesen dan kebenaran rasmi.
Amaran Terbuka Perdana Menteri
Bagi Anutin, tindakan segelintir warga asing yang membelakangkan undang-undang negara adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi lapor Sinar Harian.
Sewaktu berucap di Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa setiap warga asing yang berada di Thailand perlulah mencari rezeki secara jujur dan tidak menindas penduduk tempatan.
“Anda tidak boleh sewenang-wenangnya mendirikan rumah ibadat sendiri. Apa juga bentuknya, ia perlu menghormati masyarakat dan budaya Thailand.
Saya baru-baru ini dimaklumkan terdapat permohonan untuk membina tanah perkuburan persendirian. Ini sudah melampaui batas,” tegas beliau.
Tidak terhenti di situ, Perdana Menteri itu turut menitipkan satu pesanan yang cukup sinis dan pedas buat warga asing yang masih berdegil mahu melanggar peraturan.
“Jika mahu mati, pulanglah dan mati di negara sendiri. Tidak perlu mati di sini. Jangan datang ke sini untuk mengambil kesempatan terhadap kami,” luahnya dengan nada amaran.
Bukan Ditujukan Kepada Satu Bangsa Sahaja
Walaupun kenyataan itu dibuat susulan kes tanah perkuburan di Chachoengsao, Anutin pantas menjelaskan bahawa teguran keras tersebut tidak disasarkan secara khusus kepada rakyat Israel atau mana-mana satu kewarganegaraan tertentu sahaja.
Menurutnya, masalah salah laku dan eksploitasi ini melibatkan individu dari pelbagai rantau, termasuklah dari Asia, Asia Barat, Asia Tengah, Eropah, dan juga Afrika.
Sebagai langkah drastik, beliau telah mengarahkan semua gabenor wilayah untuk memperketatkan lagi penguatkuasaan undang-undang.
Mana-mana warga asing yang didapati melakukan kesalahan berat atau memenuhi kriteria yang ditetapkan, tidak akan dilepaskan sebaliknya berdepan dengan tindakan pengusiran pulang serta-merta.
Thailand Masih Mengalu-alukan Pelancong Patuh Undang-Undang
Di sebalik ketegasan yang ditunjukkan, kerajaan Thailand tidak berniat untuk menutup pintu negara mereka. Anutin memberi jaminan bahawa Thailand akan sentiasa kekal terbuka untuk menyambut kedatangan pelancong serta pelabur asing.
Syaratnya cukup mudah; patuhi undang-undang yang telah ditetapkan, hormati budaya masyarakat setempat, dan jangan sesekali cuba mengambil kesempatan terhadap kebaikan rakyat mereka
Sikap yang ditunjukkan oleh kepimpinan Thailand ini jelas membuktikan bahawa kelonggaran dan budi bicara sesebuah negara tidak seharusnya dipijak sesuka hati oleh tetamu dari luar.
Bak kata pepatah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.