Dunia pengumpulan kad Pokémon kini tidak lagi terhad kepada fizikal, malah telah berevolusi menjadi platform digital dan aplikasi pihak ketiga.

Namun, di sebalik keseronokan membuka ‘mystery pack’ secara dalam talian, tersimpan satu rahsia gelap yang jarang diketahui umum.

Baru-baru ini, seorang pengaturcara (programmer) yang terlibat secara langsung dalam membangunkan aplikasi tekaan kad Pokémon digital telah membuat satu pengakuan berani menerusi Facebook.

Beliau membongkar bagaimana sistem algoritma platform tersebut sebenarnya dimanipulasi demi memastikan pemilik platform sentiasa mengaut keuntungan mudah.

Taktik ‘Umpan’: Mengapa Pengguna Baru Selalu ‘Tuah’

'Jangan Harap Boleh Untung' – 'Programmer' Bongkar Sisi Gelap Platform Kad Pokémon Digital
Gambar hanya sebagai contoh

Menurut pengakuan programmer tersebut, algoritma aplikasi sengaja direka untuk memberikan kadar kemenangan (pull rate) yang lebih tinggi kepada pengguna yang baru mendaftar.

Walau bagaimanapun, hadiah yang dimenangi bukanlah hadiah utama (grand prize), sebaliknya sekadar hadiah kecil yang cukup untuk membuatkan mereka berasa ‘pulang modal’ atau untung sedikit.

Taktik psikologi ini digunakan bertujuan untuk memberi kepuasan segera, sekali gus membuatkan pengguna baharu ‘terpikat’ (hooked) dan terus berbelanja lebih banyak wang pada masa hadapan.

Hadiah Utama ;Dikunci’: Boss Mesti Untung Dulu

Mungkin ramai pengguna menyangka mereka berpeluang memenangi hadiah utama sejak pek pertama dijual. Realitinya, algoritma platform telah dikunci mengikut sasaran keuntungan pemilik.

Sebagai contoh, jika terdapat 1,000 pek misteri yang diiklankan dengan harga RM50 satu pek, dan hadiah utamanya bernilai RM10,000, pengaturcara akan diarahkan untuk menyekat hadiah utama tersebut. Hadiah tersebut hanya akan dimasukkan ke dalam baki pengagihan selepas 500 pek pertama habis dijual.

Pada fasa ini, pemilik platform sudah pun mengaut poket pengguna sebanyak RM25,000 (500 pek × RM50), sekali gus memastikan syarikat sudah berada dalam kedudukan untung bersih sebelum hadiah utama berpeluang dimenangi oleh sesiapa.

Akaun ‘Hantu’ Ditugaskan ‘Buy Back’ Hadiah Besar

Lebih mengejutkan, platform ini mempunyai sistem keselamatan automatik (bot) untuk menyelamatkan hadiah utama daripada jatuh ke tangan pengguna sekiranya baki jualan tidak menguntungkan pemilik.

Jika baki pek yang tinggal mempunyai nilai jualan yang lebih rendah daripada nilai hadiah utama contohnya tinggal 100 pek terakhir (bernilai RM5,000) tetapi hadiah RM10,000 masih belum dimenangi maka sistem akan menggerakkan akaun palsu automatik (automated dummy account) untuk membeli kesemua baki pek tersebut.

Hadiah utama itu kemudiannya akan ‘disapu bersih’ kembali oleh pemilik platform untuk dijual semula di luar pasaran digital berkenaan dengan harga pasaran sebenar.

Lubang Hitam Tanpa Audit: Risiko Manipulasi & Penggubahan Wang Haram

Apa yang paling membimbangkan tentang platform kad Pokémon pihak ketiga ini adalah statusnya yang langsung tidak dikawal selia (unregulated) di Malaysia.

Jika dibezakan dengan institusi perjudian atau loteri berlesen negara seperti Kasino Genting, Toto4D, Magnum, dan Kuda, setiap mesin dan algoritma komputer mereka wajib dipantau serta diaudit secara ketat oleh pihak berkuasa bagi memastikan kadar bayaran (payout) adalah telus seperti yang diiklankan.

Sebaliknya, platform digital Pokémon pihak ketiga in kerana tidak dicukai oleh kerajaan, tidak diaudit oleh badan bebas serta bebas dimanipulasi algoritma gachanya mengikut kehendak pemilik.

Malah, melihat kepada aliran tunai yang besar dan tidak dikesan ini, pengaturcara tersebut turut meluahkan kegusaran bahawa platform sebegini berkemungkinan besar turut terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram (money laundering).

Bermain Atas Risiko Sendiri

Walaupun menyedari sistem yang dibangunkannya itu adalah satu bentuk penipuan terancang, pengaturcara itu mengakui dia menerima bayaran yang sangat lumayan untuk tugasan tersebut dan tidak merungut tentang gajinya.

Namun, pesanan ikhlasnya kepada semua peminat kad Pokémon adalah jelas: jadikan pendedahan ini sebagai pengajaran, bermainlah atas risiko sendiri, dan jangan sesekali mengharapkan keuntungan jangka masa panjang daripada platform digital yang tidak telus ini.

Di hujung hari, algoritma sentiasa berpihak kepada pemilik platform.