Jangkaan hayat ketika lahir bagi penduduk Malaysia mencatatkan peningkatan secara berterusan, di mana purata purata umur dijangka mencapai 75.5 tahun pada 2026 berbanding 74.9 tahun pada 2024 dan 75.2 tahun pada 2025.

Peningkatan sebanyak 0.6 tahun bagi tempoh 2024 hingga 2026 ini menunjukkan pertumbuhan positif dalam kualiti hidup dan tahap kesihatan awam negara.

Berdasarkan perangkaan terbaharu yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bawah Kementerian Ekonomi, jangkaan hayat ketika lahir berbeza mengikut kumpulan etnik, negeri, dan daerah pentadbiran.

Etnik Cina Catat Jangkaan Hayat Tertinggi

Dari sudut kumpulan etnik, etnik Cina mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir tertinggi pada tahun 2026, iaitu 77.7 tahun secara purata. Daripada jumlah tersebut, lelaki etnik Cina mencatatkan 75.1 tahun manakala wanita etnik Cina merekodkan 80.8 tahun.

Bagi etnik-etnik lain, data menunjukkan:

Melayu: Purata 74.5 tahun (Lelaki: 72.1 tahun, Perempuan: 77.2 tahun).

Bumiputera Lain: Purata 74.5 tahun (Lelaki: 72.2 tahun, Perempuan: 76.9 tahun).

India: Purata 72.1 tahun (Lelaki: 68.8 tahun, Perempuan: 75.8 tahun).

Secara keseluruhannya, golongan perempuan kekal mencatatkan jangkaan hayat yang lebih tinggi berbanding lelaki bagi semua kumpulan etnik.

Selangor, W.P. Kuala Lumpur dan W.P. Labuan Atasi Paras Nasional

Secara keseluruhan, purata paras nasional jangkaan hayat ketika lahir berada pada kadar 75.5 tahun pada tahun 2026.

Terdapat tiga negeri dan wilayah yang mencatatkan perangkaan melebihi paras purata nasional tersebut:

Selangor: 78.2 tahun

W.P. Kuala Lumpur: 77.3 tahun

W.P. Labuan: 77.0 tahun

Manakala negeri-negeri lain merekodkan jangkaan hayat antaranya Sarawak dan Pulau Pinang (75.5 tahun), Sabah (75.1 tahun), Johor (74.9 tahun), Melaka (74.8 tahun), W.P. Putrajaya (74.6 tahun), Negeri Sembilan (74.2 tahun), Perak (74.0 tahun), Kelantan dan Pahang (73.6 tahun), Perlis (73.4 tahun), Kedah (73.0 tahun), dan Terengganu (72.8 tahun).