Pendaki wanita yang hilang selama hampir dua minggu di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, mengesahkan tiada sebarang gangguan mistik atau kejadian aneh berlaku sepanjang beliau tersesat di dalam hutan.
Perkara itu dikongsi oleh Exco Perak, Mohd Azlan Helmi, selepas melawat Jaslinda di Hospital Tapah bersama seorang lagi Exco, Datuk A Sivanesan, petik hantaran Facebook beliau.
Menurut Mohd Azlan, mangsa kini berada dalam keadaan sihat, ceria, dan semakin pulih.
Memetik Astro Awani, sepanjang tempoh itu, Jaslinda hanya bergantung kepada sumber air untuk bertahan hidup dan dapat tidur dengan tenang.
Mohd Azlan turut memperbetulkan beberapa spekulasi yang tular di media sosial:
Isu Makan Cendawan: Jaslinda menafikan beliau makan cendawan liar. Beliau sekadar mengutipnya untuk dibawa pulang, namun membuangnya selepas diberitahu oleh Orang Asli bahawa cendawan itu beracun. Beliau sebenarnya tidak makan apa-apa selama beberapa hari.
Barangan Tular: Botol air dan sisa makanan yang tular di media sosial disahkan bukan miliknya, kerana semua barangan peribadi sentiasa bersamanya.
Sepanjang tersesat, Jaslinda cuba menarik perhatian pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dengan meniup wisel.
Beliau juga mendengar bunyi helikopter SAR dan ada menemui nota yang ditinggalkan, namun gagal dikesan awal kerana berada di laluan berbeza serta terlindung oleh kanopi hutan yang tebal.
Mengenai ganjaran atau insentif kepada pasukan SAR dan komuniti Orang Asli yang membantu, Mohd Azlan menyatakan perkara tersebut dijangka akan dibawa ke Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada Rabu ini.