Semangat mahukan kemenangan Lionel Messi menjadi punca kemenangan Inter Miami  ke atas pasukan bertaraf Liga Juara Juara Eropah, FC Porto – itu menurut pengurus Inter Miami, Javier Mascherano.

Javier Mascherano turut menggelar Messi adalah GOAT, pemain terbaik yang pernah ada dalam sejarah bola sepak.

Ianya perlawanan yang menyaksikan FC Porto sebagai pasukan pilihan untuk menang ke atas Inter Miami pada aksi kedua untuk kedua dua pasukan dalam peringkat kumpulan A – Piala Dunia Kelab 2025.

Inter Miami ketinggalan pada separuh masa pertama menerusi gol Samu Omorodion. Pada separuh masa kedua, Inter Miami membuat kejutan dengan bangkit mencetak 2 gol.

Gol pertama Inter Miami menerusi Telasco Segovia minit ke-47, dan gol kemenangan menerusi Lionel Messi minit ke-54.

Javier Mascherano anggap segalanya mungkin dengan GOAT Messi

Selepas tamat perlawanan Javier Masherano berkata: “Di sebalik gol dia, Messi adalah pemain yang menunjukkan cara untuk bersaing, rasa laparkan kemenangan yang dia ada, keazamannya untuk terus bersaing di mana mana peringkat sekalipun.

“Dari segi deria bola sepak, apa lagi yang kita boleh katakan tentang Messi? Dia adalah pemain terbaik yang pernah bermain sukan ini. Dan itu adalah sejarah, namun apa yang mengejutkan adalah, dia masih memiliki semangat untuk menang.

messi

“Hari ini, walaupun pada minit minit akhir, dalam keadaan keletihan, dengan kesakitan, dia terus membantu pasukan dengan cara yang dia mampu, di serangan atau pertahanan, untuk mendapatkan kemenangan.

“Kami semua tahu, memiliki pemain sepertinya adalah satu kelebihan, namun paling penting adalah semangatnya, dan semangat kemenangan yang dia ada.”

Mascherano akui bahawa, Inter Miami tidak setaraf dengan FC Porto.

Mascherano menambah: “Kami sedar, dalam bola sepak ini ada hierarki. Dan kami baru sahaja berdepan dengan pasukan peringkat yang lebih tinggi dengan ramai pemain antarabangsa.

“Namun kami yakin bahawa, jika kami melakukan apa yang harus kami lakukan, jika kami ada perancangan, jika kami menyokong satu sama lain, jika kami bersatu, dan paling penting, jika kami berani untuk melawan, kami boleh bersaing.”