Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan benua eropah sebagai lokasi persiapan mereka sebelum menghadapi musim baharu saingan Liga Malaysia 2024/2025.

Menurut kenyataan rasmi, skuad Harimau Selatan itu akan menjalani pramusim 2024 dan 2025 di Sepanyol dan Portugal serta mengadakan perlawanan persahabatan menentang beberapa kelab di sana. 

Artikel Berkaitan:

Malah, JDT juga ditawarkan menggunakan fasiliti disana tanpa menanggung sebarang kos berikutan perbincangan yang menggalakkan antara pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) bersama pemilik Portimonense FC, Constantin Teodoro Panagopoulos yang juga pemegang saham beberapa kelab di Eropah.

“JDT telah ditawarkan untuk menggunakan kemudahan fasiliti latihan terbaik di Portugal tanpa menanggung sebarang kos.

“Pasukan Harimau Selatan ingin meningkatkan lagi prestasi dengan perlawanan-perlawanan pramusim berkualiti di Eropah mulai musim depan,” kata kenyataan rasmi.

Sebelum ini, JDT telah mengadakan pramusim di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak 2020, dan Eropah adalah langkah ke hadapan seterusnya.

Dengan aksi persahabatan menentang kelab eropah yang mempunyai standard lebih tinggi bakal membantu para pemain JDT untuk belajar dan bertambah baik.

Pada bulan Februari lalu, JDT menamatkan aksi pramusim di Dubai dengan kekalahan 0-3 di tangan juara Liga Russia, Zenit St Petersburg.

JDT sebelum ini mengharungi empat perlawanan di Dubai dengan tewas 0-2 kepada FC Rostov pada aksi pertama sebelum menang 3-0 dan 1-0 ke atas Fursan Hispania dan Lokomotiv Moscow.

Satu lagi aksi persahabatan JDT ketika berdepan Levski Sofia ditamatkan lebih awal susulan pergaduhan pemain.