Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mula menzahirkan kebimbangan susulan insiden yang melibatkan Safiq Rahim dimana kereta beliau telah diserang berhampiran Pusat Latihan JDT semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards dalam satu kenyataan mengesa pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) segera menyiasat punca serangan yang terjadi ke atas pemain bola sepak tempatan sejak kebelakangan ini.

Baca Juga:

“Insiden itu, bersama dengan serangan ke atas Akhyar Rashid dan Faisal Halim baru-baru ini, tidak mempunyai tempat dalam dunia bola sepak.

“Disebabkan kes-kes terkini, JDT telah meningkatkan lagi keselamatan para pemain kami sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kami juga telah menasihatkan para pemain kami untuk berhati-hati dengan persekitaran dan hantaran-hantaran mereka pada media sosial pada setiap masa,” kata Alistair.

Susulan insiden tersebut, Safiq telah membuat laporan polis yang menyatakan ada dua individu menaiki motosikal datang ke arahnya dan kemudian memecahkan cermin bahagian belakang dengan sebuah tukul.

Perkembangan itu dikongsikan oleh Safiq sendiri menerusi laman sosial Instagram dimana cermin bahagian belakang kereta jenis Honda City Hatchback miliknya telah dipecahkan.

Malah, si penyerang sempat menunjukkan senjata yang digunakan ke arah Safiq Rahim sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.

Insiden ini berlaku tiga hari selepas pemain sayap negara, Faisal Halim disimbah asid dan seorang lagi pemain, Akhyar Rashid yang disamun di kawasan kediamannya lebih kurang seminggu lalu.