Perebutan kejuaraan Piala MFL musim 2024/25 bakal dinoktahkan apabila dua aksi tumpuan berlangsung serentak malam ini.
Pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) bakal berdepan Penang FC II di selatan tanah air, Stadium Sultan Ibrahim manakala pasukan ditangga kedua Selangor FC akan melayan kunjungan Kedah Darul Aman FC (KDA B) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Baca Juga:
- Tiada Piala MFL Bukan Penamat Karier Pemain Muda
- Yusri Che Lah: Mansuhkan Piala MFL Satu Langkah Baik
- Piala MFL Dimansuhkan Bagi Ringankan Beban Kelab
JDT II berada di landasan terbaik untuk muncul juara, memimpin carta liga dengan 50 mata selepas menempuh keseluruhan 23 perlawanan.

Bagaimanapun, kelebihan mereka amat tipis dan hanya satu mata memisahkan skuad muda Harimau Selatan daripada pencabar utama, Selangor FC yang terus memberi tekanan di tangga kedua dalam carta Piala MFL.
Seandainya JDT II menang ke atas Penang FC II, mereka akan merangkul trofi tanpa mengira keputusan perlawanan Selangor FC. Namun, jika mereka seri atau tewas, Selangor FC masih berpeluang untuk merampas takhta dengan syarat mereka menewaskan KDA B.
Tumpuan utama JDT II pastinya terarah kepada penyerang berbisa, Gabriel Nistelrooy. Pemain kelahiran Sarawak itu telah menjaringkan 22 gol dalam 23 perlawanan, menjadikannya penjaring terbanyak kejohanan.
📊 Kedudukan terkini Piala MFL 2024-2025 – PMFL25#PialaMFL2024-25 #LigaMalaysia #DemiLigaKita pic.twitter.com/QRl8bOFcJ6
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 12, 2025
Turut menyinar bersama JDT II ialah Danish Syamer Tajuddin, pemain muda dari Piala Presiden yang telah menyumbang tujuh gol meskipun lebih kerap dimasukkan sebagai pemain gantian dan tampil dalam 16 perlawanan, lapan daripadanya dari bangku simpanan.
Sementara itu, Selangor FC pula mengharapkan sentuhan Abdul Rahman Daud yang sudah mencetak sembilan gol musim ini. Penyerang ini menjadi tunjang kepada jentera serangan mereka dalam 23 perlawanan, walaupun enam daripadanya sebagai pemain simpanan.

Pasukan Gergasi Merah turut memiliki adik-beradik sebagai aset utama, dimana Haykal Danish telah menjaringkan enam gol daripada 19 perlawanan, manakala Harry Danish pula menyumbang lima gol dalam keseluruhan 21 aksi.
Di benteng terakhir, Azim Al Amin Kamaruddin menjadi pilihan utama penjaga gol Selangor dengan 18 penampilan setakat ini.
Perubahan senario liga menjelang perlawanan terakhir ini nyata menyuntik drama yang mendebarkan. Keputusan selepas wisel penamat ditiupkan menjadi penantian buat para penyokong bola sepak JDT II dan Selangor FC malam ini.