Pengelola Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) hari ini mengesahkan bahawa kejohanan Piala MFL tidak akan dipertandingkan pada musim 2025-2026.
Keputusan untuk memansuhkan kejohanan ini dibuat menerusi perbincangan bersama Rakan Kongsi Liga yang terdiri daripada 13 Kelab Liga Super dalam pertemuan pada 19 Februari 2025.

Kejohanan ini mula dipertandingkan pada 2023 dengan mendapat sokongan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di mana setiap kelab diwajibkan memiliki skuad Piala MFL bagi memenuhi salah satu kriteria dalam Pelesenan Kelab.
Kelab Terpaksa Belanja Tinggi Kerana Piala MFL
Bagaimanapun selepas dua musim, MFL mendapati pihak kelab menanggung perbelanjaan tinggi dari segi pembayaran gaji pemain dan operasi logistik sehingga mencecah Rm28 juta bagi kos yang ditanggung keseluruhan kelab Liga Super.

Dengan mengambil kira pandangan semua Rakan Kongsi Liga, MFL percaya keputusan untuk memansuhkan saingan ini perlu diambil dalam usaha untuk mengukuhkan dan menstabilkan semula kedudukan kewangan kelab.
Malah MFL bersama Rakan Kongsi Liga juga bersetuju bahawa pada usia pemain 20 hingga 23 tahun adalah tempoh pemain muda sudah mula bersaing mendapatkan tempat dalam skuad utama berbanding bermain dalam pertandingan peringkat umur.
Meskipun kejohanan tersebut sudah tidak dipertandingkan lagi, pembangunan pemain muda masih menjadi keutamaan dengan skuad Piala Presiden dan Piala Belia kekal bersaing dalam kejohanan anjuran FAM.
Ketiadaan liga bagi pemain bawah 23 tahun itu, MFL komited untuk terus memperkasakan satu-satunya saingan liga domestik iaitu Liga Super bagi musim 2025-2026.
Masalah tunggakan gaji masih lagi menghantui kelab Liga Malaysia dimana musim ini, isu ini bagaikan sudah menjadi kanser yang hampir mustahil untuk diubati dengan beberapa kelab gagal membayar gaji pemain dan ada juga kelab yang bakal ‘bungkus’.