Malaysia Football League (MFL) mengumumkan format baharu untuk saingan Liga Simpanan bagi pemain bawah 23 tahun (B-23) iaitu Piala MFL pada musim 2024/25.

Menurut kenyataan rasmi, setiap pasukan kini dibenarkan menurunkan tiga pemain import dan dua pemain lebih umur di atas padang semasa perlawanan berlangsung.

Baca Juga:

“Bagi meningkatkan daya saing dan intensiti saingan Piala MFL, kuota pemain lebih umur dan pemain asing pertandingan ini juga akan dibuka untuk digunakan mengikut keperluan dan percaturan setiap kelab dengan maksimum 3 pemain asing dan 2 pemain lebih umur di atas padang pada satu-satu masa,” tulis MFL.

Musim lalu, hanya dua pemain import serta seorang sahaja pemain lebih umur dibenarkan beraksi di atas padang pada satu-satu masa.

Jika dua pemain lebih umur diturunkan, pasukan hanya dibenarkan menggunakan seorang pemain import semasa perlawanan berlangsung.

Namun kali ini, setiap pasukan boleh menurunkan tiga pemain import sekaligus bakal meningkatkan tahap kompetitif saingan Piala MFL.

Selain itu,  Piala MFL juga akan menggunakan format liga satu kumpulan berbanding format dua kumpulan yang digunakan pada 2023.

Perubahan format ini dilihat akan menyediakan lebih banyak perlawanan kepada pemain-pemain serta meningkatkan kesediaan dan pendedahan pemain bawah 23 tahun (B23) sebelum diserap ke pasukan Liga Super pada bila-bila masa.

Piala MFL diwujudkan untuk menjadi platform terbaik kepada pemain-pemain muda bagi memperagakan bakat mereka sekali gus mengekalkan kecergasan mereka di tahap kompetitif untuk sepanjang musim.