Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah mara ke suku akhir AFC Champions League Elite (ACL Elite) 2025/26 meskipun tewas 0-1 di tangan Sanfrecce Hiroshima pada aksi kedua pusingan 16 yang berlangsung sebentar tadi.
Kejayaan itu hadir menerusi agregat 3-2 selepas skuad Harimau Selatan terlebih dahulu mencatat kemenangan 3-1 pada aksi pertama minggu lalu.
Suku Akhir Milik JDT
Kelebihan dua gol dibawa menyaksikan JDT ditekan sepanjang perlawanan. Namun, anak-anak buah Xisco Munoz cukup kental bertahan dalam menyerap tekanan hebat diberikan tuan rumah.
Sanfrecce Hiroshima mendapat peluang terbaik pada minit ke-18, namun sepakan dalam kawasan penalti oleh Hayao Kawabe membias terkena Nene.
JDT yang sesekali mendapat ruang untuk mengasak kubu wakil Jepun itu hampir melenyapkan sokongan peminat di Edion Peace Wing Hiroshima, namun percubaan Oscar Arribas terkena tiang gol pada minit ke-43.
Memasuki babak kedua, skuad kendalian Bartosch Paul Gaul terus memberikan tekanan, tetapi jentera pertahanan pasukan pelawat kental bertahan.
Tuan rumah akhirnya berjaya mendapatkan jaringan pembukaan pada minit ke-90 menerusi sepakan penalti Kosuke Kinoshita untuk menghidupkan sedikit ruang buat Sanfrecce untuk mencari gol penyamaan.
Bagaimanapun, pemain kelab gergasi negara itu tidak membenarkan ia berlaku sekali gus sejarah baharu dilakarkan wakil Malaysia tersebut untuk mara ke suku akhir buat pertama kali.