Johor Darul Ta’zim (JDT) terus unggul memenangi Piala Sumbangsih 2025/26 selepas tidak berdepan masalah menewaskan Selangor 3-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Kemenangan penting tersebut memberikan isyarat jelas bahawa skuad kendalian Xisco Munoz itu berada di landasan terbaik untuk terus mendominasi saingan Liga Super.

Diperkuatkan dengan kehadiran pemain warisan baharu iaitu Hector Hevel, Jon Irazabal dan Jaoa Figuiredo, JDT tampil dengan cukup baik sejak wisel permulaan ditiupkan pengadil bertugas, Nazmi Nasaruddin.

Ia jelas dibuktikan apabila Jairo De Macedo Da Silva hanya memerlukan dua minit sahaja untuk membuka tirai jaringan.

Gol tersebut berpunca daripada lorongan cantik ketua pasukan, Samuel Castillejo mencari Jonathan Cristian Silva yang kemudiannya melakukan hantaran lintang ditolak masuk Jairo untuk menceriakan penyokong tuan rumah.

Arif Aiman Hanapi hampir melebarkan kedudukan pada minit ke-40 tetapi sepakan percuma yang diambil berjaya dinafikan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Seminit kemudian, Selangor pula mendapat peluang untuk menghasilkan jaringan tetapi rembatan leret Chrigor Flores Moraes digagalkan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Penyokong JDT sekali lagi melonjak kegembiraan pemain pertahanan, Eddy Israfilov menanduk masuk bola ketika situasi sepakan penjuru pada minit ke-64.

Memasuki minit ke-73, skuad Harimau Selatan terus mengaum dengan jaringan ketiga hasil jaringan daripada sudut sukar Arif Aiman Hanapi untuk memastikan JDT muncul juara Piala Sumbangsih buat kali kelapan berturut-turut.