Perlawanan Chelsea di Malaysia sebelum aksi penutup jelajah pramusim bertukar kecoh selepas mereka terikat 3-3 dengan gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Peminat yang berada di Stadium Sultan Ibrahim dilihat terpinga-pinga apabila penentuan sepakan penalti yang sepatutnya diwajibkan selepas perlawanan secara mengejut dibatalkan.

Keadaan tersebut sekali gus mencetuskan pertikaian hangat di tepi padang sebelum kedua-dua pasukan meninggalkan gelanggang tanpa menyelesaikan keputusan perlawanan.

JDT tidak menunggu lama untuk membuka jaringan menerusi Arif Aiman Hanapi pada minit ke-10 sebelum dua sepakan penalti berturut-turut daripada Liam Delap mengubah kedudukan perlawanan.

Namun, Oscar Arribas dan Bergson kembali meletakkan JDT di hadapan sebelum gol sendiri Antonio Cristian pada penghujung perlawanan menyelamatkan Chelsea daripada kekalahan.

Drama JDT & Chelsea

Drama semakin memuncak apabila penentuan sepakan penalti yang dinantikan selepas perlawanan itu terpaksa dibatalkan.

Kekecohan yang berlaku selepas perlawanan itu turut mendapat perhatian media antarabangsa apabila beberapa portal sukan terkenal mula melaporkan mengenai insiden berkenaan.

Antaranya Goal, London Evening Standard dan The Sun yang turut membuat liputan mengenai pembatalan penentuan sepakan penalti yang mencetuskan persoalan selepas aksi JDT menentang Chelsea berakhir 3-3.

Difahamkan, meskipun terdapat persetujuan bahawa penentuan sepakan penalti akan dilakukan sekiranya perlawanan berakhir seri, pemain kedua-dua pasukan dilihat terus menuju ke bilik persalinan.

Selepas melihat pemain JDT dan pegawai perlawanan meninggalkan padang, Ketua Operasi Pasukan Utama Chelsea, Kevin Campello dilihat terlibat dalam pertikaman lidah hangat di tepi padang sebelum menjerit kepada pengadil: “Ia sudah tertulis dalam kontrak.”

Walaupun kakitangan operasi The Blues mengemukakan bantahan keras, keputusan tersebut kekal dan perlawanan akhirnya ditamatkan begitu sahaja tanpa pemenang.

Perlawanan yang berlangsung dalam suasana tegang itu menyaksikan JDT meneruskan rekod tanpa kalah yang bermula sejak April 2021, namun keputusan seri tersebut hadir dengan harga yang mahal buat Chelsea.

Mamadou Sarr terpaksa menarik diri ketika sesi pemanasan badan walaupun disenaraikan dalam kesebelasan utama manakala pertahanan Aaron Anselmino terpaksa meninggalkan padang pada minit ke-29 sambil menitiskan air mata akibat kecederaan.

Dua kecederaan di bahagian pertahanan itu pastinya memberi tamparan buat Xabi Alonso.

Sumber