Seorang pengawal keselamatan di Kedah berjaya mencuri perhatian netizen selepas dirakam memberikan arahan yang sangat jelas dan tepat kepada pelawat di hospital tempat beliau bertugas.

Dalam satu kiriman video yang dimuat naik di media-media sosial itu, pengawal keselamatan itu dilihat dengan tenang memberitahu hanya dua pelawat sahaja dibenarkan untuk masuk ke kawasan wad pada satu-satu masa.

Walaupun arahan itu pada awalnya dilihat seperti biasa sahaja, namun gaya penyampaiannya yang seolah-seolah pegawai badan beruniform ketika di penghujung video itu dipuji oleh netizen.

Perhatikan di saat-saat terakhir di mana beliau menjelaskan kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dibenarkan masuk ke kawasan wad.

Gayanya memberikan arahan tersebut tidak ubah seperti seorang pegawai polis atau tentera yang biasa kita lihat di kaca TV.

“Jelas dan padu.

“Kalau tak faham juga, mungkin kena bagi penampaq sedaih (penampar satu kali),” tulis netizen di kiriman tersebut.

Video tersebut dikatakan dirakam di kawasan Hospital Sultan Abdul Halim di Kedah dan sehingga artikel ini ditulis, ia telah pun tersebar luas di Facebook dan Twitter.

Seorang netizen turut mengesahkan perkara tersebut dan menceritakan pengawal itu sebelum ini memang terkenal dan berpengaruh terutamanya dalam melibatkan soal agama.

“Pak Long ini aku ngam dengan dia , kebanyakan guard dekat Hospital Sultan Abdul Halim, dia paling berpengaruh dengan soal agama, yang lain ke longkang, sumpah cakap.

“Duduk dengan dia , sejam tak habis dia tazkirah soal agama,” kongsi @aqraminnnnnnnnn di Twitter. 

Video tersebut bukan saja tular dalam kalangan netizen biasa, tetapi turut mendapat retweet daripada Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut KKM, arahan yang diberikan itu adalah selaras dengan arahan untuk meminimakan pergerakan bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19 di hospital.

“Terbaiklah cara encik guard kita menerangkan kepada orang ramai,” tulis mereka dalam ciapan tersebut.

Bersempena dengan perintah kawalan pergerakan yang telah berkuat-kuasa sejak semalam, orang ramai dinasihatkan untuk meminimakan pergerakan keluar dan kekal berada di kediaman masing-masing.

Malah, PM kita juga pada semalam sekali lagi membuat sidang media bagi meminta rakyat Malaysia untuk ‘Stay At Home.

Klik pautan di bawah untuk membaca perkongsian kami mengenai arahan ini. 

PM Rayu Rakyat Malaysia ‘Stay At Home’ Untuk Putuskan Rantaian COVID-19

Masih Berkumpul Walaupun Dilarang, Netizen Kongsi Sikap Tidak Bertanggungjawab Rakyat Malaysia

Adakah Ini ‘Wajah’ Sebenar Wabak COVID-19 Yang Dibesarkan Sebanyak 2,600 Kali?

Sumber