Atlet remaja 16 tahun yang sedang menempa nama dalam sukan muay thai, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali dengan nama Jojo sekali lagi menumpaskan lawannya yang jauh lebih berusia dalam satu perlawanan ONE Championship pada Jumaat.

Dalam perlawanan tersebut, atlet dari Sarawak di bawah kelolaan Rentap Muay Thai Gym telah menumpaskan Tai Sor Jor Piek Uthai dari Thailand dengan pukulan knockout (KO) dalam perlawanan Flyweight Muay Thai di Lumpinee Stadium, Bangkok.

Baca Juga:

Video knockout Jojo terhadap Tai telah dikongsikan semula oleh laman ONE Championship namun aksi Tai sebelum menerima pukulan tersebut pula tular.

Tai dilihat menjelir lidah sebagai tanda ejekan, salah satu cara untuk menaikkan kemarahan lawan. Namun, selepas hanya beberapa saat beliau membuat aksi tersebut, satu tumbukan tangan kanan padu daripada Jojo hinggap di mukanya dan membuatkan beliau terbaring di atas gelanggang.

Rata-rata peminat ONE Championship terkejut dengan teruja dengan masa depan Jojo yang dilihat cerah kerana mampu menumpaskan lawan yang jauh lebih berusia dan berpengalaman dalam dua perlawanan sulung beliau.

Dalam temu bual selepas menang, Jojo berkata beliau teruja dan gembira kerana dapat menang dan mahu diberi kontrak profesional walaupun baru berusia 16 tahun.

“Sasaran saya seterusnya adalah untuk mendapatkan kontrak, dan saya rasa tali pinggang juara ONE Championship ini ditakdirkan buat saya,” katanya dalam rakaman berkenaan.

Dalam perlawanan pada bulan Februari lalu, Jojo telah menewaskan lawan yang dua tahun lebih tua, Padetsuk Fairtex, 18, di mana perlawanan tersebut hanya mengambil masa 16 saat sahaja sebelum Jojo menewaskan Fairtex dengan pukulan K.O.

Moga terus maju jaya diucapkan kepada Johan Ghazali dalam misinya untuk merangkul gelaran juara ONE Championship. All the best!