Dalam perkembangan terbaru yang mengejutkan, dua jenama mewah terkemuka, Dior dan Giorgio Armani, didakwa membayar harga yang sangat rendah untuk menghasilkan beg tangan yang dijual dengan harga ribuan dolar.

Menurut laporan Reuters, Dior membayar pembekal mereka hanya $57 untuk setiap beg, yang dijual pada harga sekitar $2,800.

Manakala Giorgio Armani membayar $99 bagi setiap beg yang dijual lebih daripada $1,900.

Skandal ini turut membawa kepada pengawasan ketat terhadap LVMH, syarikat induk Dior, yang diletakkan di bawah pentadbiran mahkamah di Milan bulan lalu.

LVMH didakwa telah mengalihkan kerja kepada firma milik Cina yang didakwa memperlakukan pekerjanya dengan buruk.

Menurut Reuters, pekerja-pekerja ini dilaporkan tidur di kilang supaya mereka boleh bekerja 24 jam sehari.

Sementara itu, Giorgio Armani turut tidak terlepas dari tuduhan.

Jenama mewah ini didakwa tidak mengawasi pembekal mereka dengan sewajarnya, menimbulkan persoalan tentang etika perniagaan mereka.

Hakim di Milan telah mengarahkan unit-unit kedua-dua syarikat ini diletakkan di bawah pentadbiran kehakiman selama satu tahun.

Keputusan ini adalah untuk memastikan pematuhan mereka terhadap undang-undang buruh dan standard etika dalam rantaian bekalan mereka.

Perkembangan ini menimbulkan persoalan besar mengenai harga yang dikenakan oleh jenama-jenama mewah ini terhadap produk mereka.

Walaupun beg tangan ini dijual dengan harga ribuan dolar, kos penghasilannya ternyata sangat rendah.

Situasi ini mencetuskan perdebatan mengenai keadilan dalam perniagaan fesyen dan bagaimana pekerja di hujung rantaian bekalan sering kali menjadi mangsa eksploitasi.

Skandal ini tidak hanya menjejaskan reputasi Dior dan Giorgio Armani, tetapi juga mencetuskan kebimbangan dalam industri fesyen mewah secara keseluruhan.

Pengguna semakin bijak dan lebih sedar tentang etika perniagaan dan amalan buruh yang lestari.

Syarikat-syarikat perlu mengambil langkah-langkah untuk memastikan bahawa mereka tidak hanya mematuhi undang-undang, tetapi juga menjalankan perniagaan dengan etika yang tinggi.