Masalah jerebu rentas sempadan dijangka berkurangan secara beransur-ansur berikutan pusingan peralihan monsun yang bermula Jumaat ini sehingga akhir Oktober.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip, berkata bahawa peralihan ini sekali gus menandakan berakhirnya musim Monsun Barat Daya yang bermula sejak 14 Mei lalu, petik Harian Metro.

“Dengan berakhirnya musim Monsun Barat Daya, kesan jerebu rentas sempadan daripada negara jiran dijangka beransur-ansur berkurangan berikutan berlaku perubahan arah pergerakan angin,” kata beliau dalam satu kenyataan rasmi.

Namun begitu, orang ramai digesa agar tidak alpa dan kekal berwaspada terhadap ancaman cuaca ekstrem lain. Tiupan angin yang lemah dan bervariasi sepanjang tempoh peralihan ini berpotensi merangsang pembentukan awan ribut petir, terutamanya pada waktu petang dan awal malam.

“Keadaan ini terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung serta barat Sabah dan Sarawak. Fenomena cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat, kepala air, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” jelas Mohd Hisham lagi.

Bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, MET Malaysia menasihati awam agar sentiasa memantau ramalan dan amaran cuaca terkini menerusi saluran rasmi Jabatan, aplikasi myCuaca, atau menghubungi Hotline MET Malaysia di 1-300-22-1638.

Sumber