Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil maklum pandangan serta keresahan ibu bapa berhubung pengumuman penutupan sekolah akibat jerebu yang dibuat dari hari ke hari.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memahami kesukaran yang dihadapi keluarga dan telah mengarahkan agar sebarang keputusan berkaitan penutupan sekolah dimaklumkan seawal yang mungkin bagi memberi ruang kepada ibu bapa membuat persediaan.
Menerusi hantaran Facebook, beliau menjelaskan bahawa keputusan tersebut perlu mengambil kira keadaan semasa memandangkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sentiasa berubah mengikut masa dan lokasi. Pengurusan jerebu turut melibatkan pendekatan merentasi kementerian dan agensi.
“Jabatan Alam Sekitar berperanan memantau kualiti udara dan menangani isu pencemaran, manakala Kementerian Kesihatan Malaysia memberikan panduan berkaitan risiko kesihatan kepada masyarakat. KPM pula memberi tumpuan kepada keselamatan murid dan pengurusan operasi sekolah berdasarkan keadaan semasa,” kata Fadhlina.
Mengulas mengenai cadangan agar sekolah ditutup terus untuk beberapa hari, Fadhlina menegaskan bahawa gangguan terhadap sesi persekolahan berisiko memberi kesan jangka panjang kepada pembelajaran anak-anak, seperti yang pernah dilalui semasa pandemik COVID-19.
“Pengalaman COVID-19 mengajar kita betapa besarnya kesan gangguan persekolahan terhadap pembelajaran anak-anak. Sehingga hari ini, usaha menangani keciciran pembelajaran masih diteruskan. Masa pembelajaran yang hilang bukan mudah untuk diganti, apatah lagi kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak sama bagi setiap murid,” tegas beliau.
Bagi mengurangkan beban logistik ibu bapa, KPM turut menyarankan agar murid-murid asrama kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan sekolah, selagi keadaan disahkan selamat dan kebajikan mereka terjamin. Langkah ini diambil bagi mengelakkan ibu bapa terbeban dengan urusan mengambil dan menghantar anak secara berulang kali.
Fadhlina memberi jaminan bahawa KPM akan terus memantau situasi secara terperinci menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), di samping memperbaiki penyampaian maklumat kepada orang ramai. Beliau turut merakamkan penghargaan atas pandangan, keprihatinan, dan kesabaran seluruh ibu bapa dalam mendepani situasi berkenaan.