Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak mengumumkan penutupan sementara semua sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian berkuat kuasa hari ini, Khamis, 24 September 2026.

Langkah tersebut diambil berikutan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di kawasan berkenaan yang direkodkan berada pada tahap tidak sihat setakat jam 10.00 malam, Rabu (23 September 2026).

Menurut kenyataan rasmi JPN Sarawak, sepanjang tempoh penutupan ini, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas.

Pelaksanaan PdPR adalah tertakluk kepada Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 8 Tahun 2016 mengenai Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana.

Sementara itu, bagi sekolah-sekolah yang terletak berhampiran daerah yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 200, pihak Pengetua dan Guru Besar diberi kebenaran untuk mempertimbangkan pelaksanaan PdPR dengan memberi keutamaan kepada faktor kesihatan dan keselamatan murid.

JPN Sarawak turut menjelaskan bahawa sekiranya trend IPU menunjukkan penurunan di bawah bacaan 200, pihak sekolah boleh membuat persediaan untuk pembukaan semula sekolah.

Walau bagaimanapun, pihak sekolah diingatkan agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dalam Surat Siaran KPM Bilangan 1 Tahun 2019.

Selain itu, semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Sarawak dinasihatkan supaya mematuhi panduan berhubung pelaksanaan aktiviti luar semasa cuaca panas berpandukan Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2023.

Pihak sekolah juga diminta sentiasa memantau tahap IPU menerusi Portal Rasmi Jabatan Alam Sekitar (APIMS) serta mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dari semasa ke semasa.

JPN Sarawak menegaskan bahawa pihak mereka amat mengambil berat berkenaan kesihatan, keselamatan, dan kesejahteraan seluruh warga sekolah di negeri ini.