Semalam, tular di media sosial berhubung sebuah video seorang lelaki Bangladesh mendakwa dirinya telah menetap di Malaysia selama 6 tahun tanpa permit.

Malah, dia juga seolah-olah memerli pihak berkuasa kerana tidak dikenakan sebarang tindakan walaupun duduk tanpa permit sepanjang berada di Malaysia walhal di negara lain sudah pasti dihantar pulang ke negara asalnya.

Susulan jadi pertikaian ramai, Jabatan Imigresen (JIM) mengambil maklum tentang dakwaan terbabit dan menyiasat dengan terperinci.

Memetik Sinar Harian, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan lelaki warga Bangladesh yang tular mendakwa berada di Malaysia tanpa dokumen sah telah keluar dari negara pada 2021.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, berdasarkan maklumat pihaknya telah kenal pasti identiti lelaki terbabit.

“Lelaki warga Bangladesh itu dikesan telah keluar dari Malaysia pada 2021.

“Tiada rekod lelaki itu memasuki Malaysia semula selepas itu dan berdasarkan rekod juga dia memiliki pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang sah sehingga 2 April 2022,” katanya lagi.

Dalam pada itu, JIM menggesa orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung isu pendatang asing tanpa izin agar tindakan boleh dijalankan segera.