Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mengeluarkan peringatan kepada pekerja asing di Malaysia bahawasanya mereka boleh dihalau sekiranya berkahwin dengan warga tempatan semasa berada dalam tempoh pemegang permit pekerja asing sementara (PLKS) di negara ini.

Menurut catatan di laman Facebook rasmi JIM, jabatan itu menjelaskan bahawa berkahwin dengan wanita atau lelaki tempatan adalah bertentangan dengan syarat yang ditetapkan di dalam kontrak sebagai PLKS, menjadikan permit itu terbatal secara automatik.

Baca Juga:

Sehubungan itu, pemegang PLKS juga akan dihantar keluar dari Malaysia mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Dalam catatan itu, JIM turut menasihat rakyat tempatan, khususnya wanita supaya mengetahui risiko berkahwin dengan pekerja asing yang merupakan pemegang PLKS, di mana jika mereka masih berkeras untuk meneruskan rencana perkahwinan tersebut, mereka akan ditinggalkan seorang jika pasangan mereka dihantar pulang.

Mengenai status perkahwinan, JIM menjelaskan bahawa ia bergantung kepada sama ada pasangan itu Islam atau bukan Islam.

Sekiranya mereka pasangan Islam dan memenuhi semua syarat di bawah undang-undang Islam, perkahwinan mereka dianggap sah. Walaupun pasangan pemegang PLKS, dia akan tetap dihantar pulang dan akan merumitkan proses adalah apabila berlakunya permohonan cerai di Mahkamah Syariah.

Bagi kesatuan bukan Islam pula, Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk membubarkan dan membatalkan pendaftaran perkahwinan sivil itu.

Tetapi perlu diingat bahawa larangan ini bukan untuk menghalang pekerja asing dan rakyat Malaysia daripada berkahwin satu sama lain.

Sebaliknya, prosedurnya agak rumit dan pekerja asing itu mesti terlebih dahulu berunding dengan kedutaan negara masing-masing. Ia juga memerlukan kelulusan daripada imigresen.

Sumber