Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor telah mengeluarkan kenyataan rasmi siasatan awal berhubung insiden di taman tema Sunway Lagoon baru-baru ini.
Memetik kenyataan rasmi, JKKP telah menerima pemberitahuan mengenai satu kejadian kemalangan yang melibatkan sebuah kenderaan lungsur yang dilaporkan berlaku pada 22 Ogos 2026, kira-kira jam 8:54 malam.
Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati jentera yang membawa 22 orang penumpang tersebut beroperasi seperti biasa sebelum mengalami kegagalan meluncur, kira-kira 200 meter dari kawasan pelepasan.
Kejadian itu telah mengaktifkan sistem brek kecemasan secara automatik sehingga menyebabkan jentera terhenti secara mengejut.
Susulan penghentian pergerakan mengejut berkenaan, seramai 10 orang penumpang telah dihantar ke hospital berhampiran bagi menerima rawatan akibat kesan hentakan penghentian pergerakan mengejut tersebut.
“JKKP Selangor telah mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu di tempat kejadian bagi membolehkan siasatan lanjut dan pemeriksaan teknikal dijalankan oleh Bahagian Kejuruteraan Forensik JKKP Putrajaya bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Siasatan susulan juga sedang dijalankan termasuk memanggil pihak majikan serta saksi-saksi kejadian bagi memberikan keterangan.
“Siasatan ini dijalankan di bawah Seksyen 18(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, yang mewajibkan seseorang penghuni premis tempat kerja mengambil langkah-langkah yang praktik bagi melindungi keselamatan dan kesihatan orang lain yang bukan pekerja semasa menggunakan premis tersebut.
“Mana-mana pihak yang menghuni dan mengawal premis didapati melanggar peruntukan akta ini boleh dikenakan tindakan perundangan termasuk denda maksimum RM500,000.00 sekiranya disabitkan kesalahan,” petik kenyataan rasmi berkenaan.
Sehubungan itu, JKKP Selangor memandang serius setiap kejadian kemalangan di tempat kerja terutamanya yang melibatkan nyawa.
Setiap majikan dan pengusaha premis bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengenal pasti bahaya di tempat kerja bawah kawalannya, menjalankan pentaksiran risiko dan melaksanakan langkah kawalan yang sewajarnya sebelum kerja dimulakan.
JKKP Selangor berkata kejadian seperti ini boleh dielakkan sekiranya majikan mematuhi prosedur keselamatan dan kesihatan serta melaksanakan kawalan risiko secara berterusan bagi aktiviti kerja yang dirancang.