Bagi memastikan kelancaran dan keselamatan infrastruktur jalan raya bersempena dengan penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 yang bakal berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober 2026, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Sepang telah menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM17.5 juta bagi menyelenggara dan membaik pulih laluan utama di Daerah Sepang.
Memetik hantaran Facebook JKR Daerah Sepang, satu Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Infrastruktur telah diadakan pada 31 Julai 2026 (Jumaat) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi memastikan kesiapsiagaan dan pelaksanaan kerja di lapangan berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
Peruntukan ini melibatkan dua jajaran utama iaitu Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri:
1. JALAN PERSEKUTUAN (FT26, FT27, FT29 & FT344) — RM16.00 JUTA
Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM16.00 juta yang merangkumi 25 bilangan kerja merentasi tiga kategori utama:
a. Kerja Berkala Pavemen (RM13.67 Juta | 10 Bil. Kerja):
– Partial Reconstruction (Pembaikan Semula Separa)
– Mill and Pave (Turapan Semula)
– Regulate & Overlay
– Lain-lain kerja penurapan berkaitan.
b. Kerja Berkala Bukan Pavemen (RM1.30 Juta | 8 Bil. Kerja):
– Penggantian Crash Cushion
– Penggantian Guardrail (Pagar Keselamatan)
– Pemasangan Median Opening Gate
– Kerja-kerja mengecat garisan jalan.
c. Kerja Elektrik (RM1.03 Juta | 7 Bil. Kerja):
– Penyelenggaraan dan pembaikan lampu jalan.
– Lain-lain kerja elektrikal berkaitan.
2. JALAN NEGERI (B48) — RM1.50 JUTA
Manakala bagi laluan Jalan Negeri (B48), Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sejumlah RM1.50 juta yang menumpukan kepada:
– Penyelenggaraan Permukaan Jalan (RM1.00 Juta): Kerja-kerja turapan Mill & Pave.
– Penyelenggaraan Lampu Jalan (RM500 Ribu): Pemasangan dan pembaikan sistem Lampu Solar.
“Pihak JKR Daerah Sepang menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mematuhi papan tanda keselamatan, dan memperlahankan kenderaan di kawasan-kawasan kerja sepanjang tempoh penyelenggaraan ini dijalankan.
“Kerjasama daripada seluruh pengguna jalan raya amat dipuji demi keselamatan bersama dan kelancaran projek,” kata JKR Daerah Sepang.