Jurulatih pasukan berbasikal trek kebangsaan, John Beasley kini boleh memanggil Malaysia sebagai rumahnya selepas beliau mendapat pengesahan sebagai penduduk tetap negara ini.

Beasly mendapat pengesahan mengenai status itu kira-kira tiga minggu lalu dan beliau berasa gembira kerana menjadi sebahagian dari negara Malaysia.

Baca Juga:

“Saya dapat panggilan telefon, antara hari yang paling gembira, mereka memaklumkan saya mendapat taraf penduduk tetap. Saya rasa diterima dan dihargai, dan saya memang rasa saya ‘orang putih’ Malaysia.

“Saya bangga, saya sayangkan Malaysia. Isteri saya (Vicky Beasley) gembira di sini (Malaysia). Saya sedang cuba belajar bahasa Malaysia. Saya boleh ikut perbualan anak buah (atlet di bawah kendaliannya) tetapi sukar untuk saya tangkap semuanya, tapi saya komited untuk perbaiki,” katanya.

John Beasley memulakan tugas sebagai jurulatih pasukan berbasikal trek negara pada Januari 2006 dan sejak itu memainkan peranan penting dalam karier Datuk Azizulhasni Awang yang menyaksikan beliau menjadi antara pelumba keirin terbaik di dunia selain memenangi pingat emas di Kejohanan Dunia 2017 dan dua pingat di Sukan Olimpik iaitu gangsa pada Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020.

Beasly berharap Azizulhasni untuk menerajui sukan berbasikal negara selepas berkhidmat dalam tempoh 17 tahun untuk Malaysia.

“Saya berpendapat sekarang masanya untuk beliau berpindah ke fasa baharu hidupnya. Saya mahu lihat beliau menerajui sukan berprestasi tinggi di Malaysia dalam beberapa tahun ini.

“Mungkin beliau terus bertanding dalam keirin untuk dua tahun akan datang, mungkin di Jepun,” katanya.