Jaguh berbasikal trek negara, Dato Azizulhasni Awang memberi sepenuh kepercayaan kepada Shah Firdaus Shahrom untuk meneruskan misi mencari pingat emas pertama dalam cara itu di temasya Olimpik LA pada 2028.
Menerusi laman Instagram miliknya, Azizulhasni mengucapkan tahniah kepada Shah selepas mara ke pusingan akhir acara keirin meskipun gagal meraih pingat selepas terjatuh ekoran terbabit dengan kemalangan bersama Jack Carlin (Great Britain) dan Shinji Nakano (Jepun) ketika dihujung perlumbaan.
Baca Juga:
- Adik Shah Firdaus Gesa Netizen Malaysia Berhenti Kecam Shinji Nakano
- Didakwa Sengaja Tolak Shah Firdaus, Netizen Serang IG Pelumba Jepun
- Azizulhasni Perjelas Punca Tersingkir Awal Di Saringan Pertama
Berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial, Shinji Nakano dilihat menolak Shah Firdaus sehingga menyebabkan beliau terjatuh bersama Jack Carlin sekaligus gagal menamatkan perlumbaan.
“Tahniah untuk bro saya Shah Firdaus. Untuk memasuki pusingan akhir (final) Keirin di Sukan Olimpik bukanlah sesuatu yang mudah, itu adalah fakta. Ketika Olimpik Tokyo beliau terkandas di pusingan suku akhir dan penampilan kali ini di Paris beliau berada di final adalah satu prestasi yang amat cemerlang.
“Memasuki baki 100meter perlumbaan, Shah datang dengan kelajuan yang meyakinkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa namun berlaku himpitan di selekoh terakhir yang menyebabkan beliau jatuh.
“Satu persembahan yang kita semua perlu bangga dan saya berharap Shah akan terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi dari masa ke semasa untuk terus kekal cemerlang di peringkat antarabangsa.
“Paling penting adalah untuk menggunakan 4 tahun dari sekarang sebaik mungkin untuk mempersiapkan diri ke temasya LA2028. Mungkin bunyinya terlalu awal akan tetapi itulah realitinya apabila kita bergelumang di peringkat tertinggi ini.
“Akhir kata saya percaya Shah akan jauh lebih bagus dan boleh memberikan pencapaian jauh lebih cenerlang di LA2028 nanti,” katanya.
Perlumbaan akhir yang berlangsung semalam dimenangi oleh Harrie Lavreysyen (Belanda) manakala perak milik Matthew Richardson (Australia) dan gangsa Matthew Glaetzer (Australia).
Kontinjen negara menamatkan saingan di Paris 2024 dengan meraih dua gangsa dalam sukan badminton menerusi beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain profesional perseorangan negara, Lee Zii Jia.