Ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan Indonesia, John Herdman mengakui negara tersebut mempunyai peluang besar untuk layak ke Piala Dunia 2030.
Herdman telah dilantik oleh Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk menggantikan Patrick Kluivert yang dipecat pada Oktober lalu ekoran kegagalan membawa skuad Garuda itu mara ke Piala Dunia 2026.
Baca Juga:
- Siapa John Herdman? Jurulatih Unik Dunia Yang Kini Membimbing Indonesia

- Erick Thohir Nafi Frank De Boer Bakal Ganti Patrick Kluivert

- Kluivert Dipecat Selepas Gagal Bawa Indonesia Ke Piala Dunia 2026

Dalam sidang media rasmi memperkenalkan pengendali dari England itu, Herdman tanpa berselindung mengakui potensi besar dimiliki Indonesia untuk beraksi di pentas Piala Dunia.
Herdman Yakin Indonesia Mampu Ke Piala Dunia
“Saya melihat adanya peluang di Indonesia dan saya berasa sangat yakin bahawa kelompok penyokong serta masyarakat di sini layak berada di pentas tertinggi bola sepak dunia.”
“Pengalaman menyesuaikan diri dengan budaya yang berbeza merupakan sebahagian daripada proses memahami dan menghayati bola sepak di sesebuah negara.”
“Perkara itu akan menjadi faktor besar dalam usaha melayakkan pasukan ini ke Piala Dunia 2030.”
“Kami mempunyai tempoh masa yang sangat singkat. Fasa awal ini adalah masa untuk mendengar, memahami dan memastikan semua pihak yang perlu didengar benar-benar diberi ruang.”
“Selepas itu, kami perlu bertindak dengan jelas dan tegas mengenai langkah-langkah yang mampu membawa hasil dengan pantas.”
“Saya sudah mula berkomunikasi dengan kapten dan barisan kepimpinan pasukan. Saya juga telah menghubungi lebih daripada 60 pemain untuk memaklumkan bahawa saya hadir serta memantau mereka.”
“Ini adalah mengenai membina standard dan tabiat yang diperlukan untuk melayakkan diri ke kejohanan besar,” ujar Herdman menurut sumber laporan Goal Indonesia.