Peminat siri filem Pirates of the Caribbean nampaknya terpaksa akur dengan kenyataan bahawa Johnny Depp secara rasminya tidak akan memainkan lagi watak Kapten Jack Sparrow. Sikap Disney yang membuangnya sewaktu dia dituduh mendera isteri telah membuatkan Johnny Depp tekad dengan keputusannya.

Walaupun ada cubaan daripada Disney untuk menawarkan sejumlah wang yang besar selepas Depp menang kes ke atas bekas isterinya Amber Heard di mahkamah beberapa tahun lalu, tetapi hatinya sudah tawar untuk membawa watak tersebut. Semua disebabkan sikap Disney yang menjatuhkan hukum sebelum keputusan mahkamah keluar.

Baca Juga:

Menurut laporan terbaharu Daily Mail, Depp difahamkan “sama sekali tidak bercadang untuk bekerja dengan Disney lagi”. Keputusan ini diambil untuk membalas dendam terhadap cara Disney melayan Depp semasa kes tuduhan dera itu masih berjalan.

Tambah laporan itu lagi, dia sudah tekad untuk tidak bekerja dengan Disney lagi. Dia juga tekad untuk menolak daripada memainkan watak Jack Sparrow, walaupun Disney menawarkan sejumlah wang bernilai $20 juta untuk filem tersebut.

“Anda perlu bertanya kepada mereka. Saya tidak dapat menjawab soalan itu. Saya benar-benar tidak tahu. Saya suka dia dalam filem itu. Dia seorang kawan, seorang pelakon yang hebat dan malangnya kehidupan peribadi menjalar ke dalam semua yang kami lakukan,” Jerry Bruckheimer memberitahu The Hollywood Reporter pada 2022 apabila bercakap tentang sama ada Disney mahu Depp kembali.

Bruckheimer adalah individu penting yang membawa Depp ke dunia Pirates of the Caribbean. Dia secara terang-terangan menyatakan bahawa mahu membawa Depp pulang bagi memerankan siri filem tersebut. Bagaimanapun, tiada apa yang boleh dilakukannya kerana Depp benar-benar berang dengan apa yang Disney lakukan terhadapnya.

Dengan segala yang dilalui Depp beberapa tahun lalu, orang ramai seharusnya akur dan tidak menyalahkan dia kerana menyimpan dendam. Depp difitnah sebagai pendera, media menggambarkan dia sebagai seorang kaki pukul, manakala orang-orang filem mula memulaunya. Tetapi mujur dia menang kes fitnah tersebut di mahkamah.

Bagi pemerhati, cabaran terbaharu untuk Disney adalah untuk menghidupkan kembali filem Pirates of the Caribbean itu tanpa Depp. Walaupun bagi mereka ia agak sukar kerana Depp adalah watak ikonik yang banyak menjayakan filem tersebut, persoalan yang patut dijawab oleh Disney adalah apakah kesan jika Pirates of the Caribbean ditayangkan tanpa Depp? Adakah ada orang yang mahu menonton?