Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Johor negeri pertama di negara ini menawarkan gaji premium bermula RM4,000 dan RM5,000 kepada pekerja berkemahiran tinggi.

Menurut laporan Harian Metro, hasrat Johor itu akan dicapai dengan penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang dilancarkan semalam.

Baca Juga:

Penubuhan JTDC itu akan memastikan tenaga kerja berkemahiran tinggi dapat dibekalkan susulan penawaran sebanyak 100,000 pekerjaan berkemahiran tinggi yang bakal wujud di negeri ini.

“Johor adalah negeri pertama wujudkan JTDC bagi membantu anak-anak muda di negeri ini dilatih menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Apa yang dilakukan Johor ini adalah untuk menetapkan gaji premium bagi diploma bermula dengan RM4,000, manakala gaji premium ijazah sarjana muda bermula RM5,000. Tidak ada negeri lain melakukannya (gaji premium) setakat ini hanya Johor sahaja yang berada di hadapan.

“Kita melihat peluang pekerjaan yang ada di Johor umpamanya menghadapi persaingan dari negara jiran. Ini kerana gaji minimum ditetapkan kerajaan adalah RM1,700 berkuatkuasa Februari depan, namun gaji minimum di Singapura pula adalah $1,500 yang bersamaan dengan RM5,290.

“Oleh itu, adalah penting untuk Johor memperkenalkan gaji premium kepada pekerja berkemahiran tinggi supaya bakat tempatan tidak mengalir keluar,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sebanyak 100,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi sedang disediakan kerajaan Johor susulan kewujudan beberapa zon ekonomi termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tidak lama lagi.